
USTAZAH ZAINAP TOKOH GURU JAIM 2025
BUKIT KATIL 13 Jun – Dedikasi yang dicurahkan dalam mendidik anak bangsa, selain berpegang kepada keikhlasan ketika mengajar menjadi pegangan Ustazah Zainap Maidin, 61, sepanjang 37 tahun bergelar guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan liku-liku sebagai pendidik, namun tiada yang lebih membanggakan apabila melihat anak muridnya cemerlang dan menjadi insan yang berjaya.
Dia bagaimanapun tidak menyangka, khidmat baktinya selama ini dihargai Kerajaan Negeri apabila dinobat sebagai Tokoh Guru JAIM 2025 sempena Majlis Sambutan Hari Guru JAIM Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025, hari ini.
Anak jati Pengkalan Balak itu mengakui terharu dengan pengiktirafan yang diberikan dan menyifatkannya sebagai antara kenangan paling manis dalam hidupnya.
“Bergelar seorang guru, saya berpegang kepada melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas dan rendah hati demi memastikan kemenjadian murid selaras dengan matlamat KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain) dan objektif Bahagian Pendidikan JAIM.
“Alhamdulillah, sepanjang saya bergelar sebagai seorang guru Taranum, saya telah membimbing ramai murid menyertai pertandingan Tilawah al-Quran, termasuk beberapa orang pelajar yang cemerlang di peringkat negeri.
“Alhamdulillah, kerjaya saya sebagai guru kini disambung anak ketiga yang turut mengikut jejak langkah saya sebagai guru KAFA,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, ibu kepada empat anak itu menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan kepada guru yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam bidang pendidikan serta membawa impak positif terhadap pembangunan sahsiah, akhlak dan akademik pelajar.
Bercerita kisah hidupnya, Zainap berkata, pada awalnya dia hanyalah seorang kerani kewangan di Kuala Lumpur, sehinggalah bertemu semula dengan guru lamanya yang telah membuka pintu hatinya terjun dalam bidang pendidikan.
“Pada waktu itu, saya masih bekerja dan belum bersedia untuk bergelar seorang guru. Namun, pertemuan dengan bekas guru saya telah membuatkan saya mula terfikir untuk menyumbang bakti kepada masyarakat melalui pendidikan.
“Apabila pulang ke kampung, saya bersetuju untuk menjadi guru dan nama saya telah dimasukkan ke dalam senarai jabatan sebelum dipanggil menghadiri sesi temu duga dan Alhamdulillah, saya berjaya diterima sebagai seorang guru dan berkhidmat selama lebih tiga dekad,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.