
PELAJAR PARAH DITIKAM ABANG TIDAK ALAMI TRAUMA TERUK, DIBENAR KELUAR HOSPITAL
AYER KEROH 21 Jun – Pelajar Tingkatan Satu yang parah akibat ditikam abang kandung dalam kejadian tragis di Bukit Rambai pada 12 Jun lalu telah dibenarkan keluar dari Hospital Melaka, pagi semalam.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka, Halyjah Muhammad berkata, remaja lelaki berusia 13 tahun itu disahkan berada dalam keadaan stabil dan pulih daripada kecederaan.
Menurutnya, sepanjang rawatan, pegawai kebajikan dan kaunseling JKM sentiasa menziarahi mangsa serta menilai tahap trauma yang dialami.
“Pegawai kami mendapati mangsa tidak mengalami trauma teruk. Alhamdulillah, dia telah dibenarkan keluar dari hospital pada jam 8 pagi semalam,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, pelajar itu kini berada di bawah jagaan bapa saudaranya di Petaling Jaya, Selangor yang turut akan menguruskan hal persekolahannya.
Sementara itu, Halyjah memaklumkan JKM Negeri Melaka turut menziarahi abang mangsa berusia 17 tahun yang kini ditahan di lokap.
“Emosi dan kesihatannya stabil, makan minumnya juga dijaga pihak polis. Dia turut ditempatkan di lokap berasingan daripada tahanan dewasa sebagai langkah perlindungan.
“JKM sentiasa memastikan hak kanak-kanak terpelihara tanpa mengira status mereka sama ada tertuduh atau mangsa,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh ibu dan abang kandungnya serta menyebabkan kecederaan parah terhadap adiknya.
Siasatan awal polis mendapati, motif kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan dan dendam akibat sering dipaksa belajar bagi mencapai keputusan cemerlang dalam akademik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.