Sorting by

×

MELAKA RAKAM TERIMA KASIH, KOMITMEN KPKT LAKSANA PROJEK WTE

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BEMBAN 22 Jun – Kerajaan Negeri Melaka merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas komitmen merealisasikan pembinaan loji pemprosesan sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di Sungai Udang.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pemeteraian perjanjian projek pada 19 Jun lalu, membuktikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan pengurusan sisa pepejal di Melaka.

“Alhamdulillah bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pemeteraian projek ini.

“Ini adalah satu anjakan besar ke arah sistem pelupusan sisa yang lebih moden dan mesra alam bagi rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dan Penyerahan Taman Rekreasi Kesang Damai yang disempurnakan oleh Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh di Taman Kesang Damai, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop dan Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Rais berkata, projek hasil kerjasama Konsortium Malakoff Corporation Berhad dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) itu dijangka siap pada tahun 2029, namun pihaknya berharap ia dapat dipercepatkan.

“Walaupun sebelum ini berlaku sedikit kelewatan, kita kini sedang menunggu proses pembinaan dimulakan. Sesi perbincangan bagi majlis pecah tanah akan diadakan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Ketika itu kita akan umumkan semula garis masa terkini projek, insya-Allah pada majlis pecah tanah nanti kita akan umumkan dan bila ia akan siap sepenuhnya,” katanya.

Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Projek Loji WTE Sungai Udang telah diadakan di Putrajaya dan disaksikan sendiri oleh Kor Ming, melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM660 juta.

Perjanjian ditandatangani Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib; Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian dan Pengarah Syarikat Sungai Udang WTE Sdn Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

614
Kongsi :
Previous post LESEN LADANG AYAM SIMPANG BEKOH DITARIK, DIBENAR BEROPERASI SEMULA JIKA PATUHI SYARAT
Next post MELAKA MOHON TAMBAH KUOTA MYLESEN B2 TAHUN HADAPAN