Sorting by

×

MITOS DAN FAKTA TENTANG KANSER: APA PERLU ANDA FAHAMI?

Masa Membaca:5 Minit, 3 Saat

Oleh: Datuk Dr. Shankar Gunarasa
Pakar Bedah Kolorektal dan Umum, Robotik dan Laparoskopi
Pantai Hospital Ayer Keroh Melaka

SERINGKALI apabila saya bertemu dengan pesakit saya, banyak juga tanggapan peribadi yang diluahkan tentang pelbagai jenis penyakit dan cara merawatnya. Sebagai seorang doktor saya sentiasa bersiap-sedia mendengar dan cuba memahami tanggapan mereka, walaupun tanggapan tersebut tidak benar sama sekali.

Saya juga tidak menyalahkan mereka kerana tanggapan ini timbul berlandaskan apa yang difahami oleh masyarakat umum tentang sesuatu penyakit. Begitu juga dengan kanser, banyak persepsi terhadap asal usul and rawatan yang telah disalah fahamkan oleh masyarakat kita sehingga terdapat rintangan atau keluhan untuk mengambil rawatan.

Inilah mitos-mitos yang akan saya cuba perbetulkan di dalam artikel kali ini:

1. Sekali dapat kanser, tidak boleh sembuh

Walaupun statistik menunjukkan kadar kanser semakin meningkat, namun kanser tidak semestinya membawa maut. Dengan kemajuan di dalam kemoterapi dan pembedahan, kadar ‘5-year survival’ semakin memberangsangkan.

Fakta ini dapat dilihat di dalam kanser payudara, prostat dan juga tiroid. Namun apa sekali pun, tahap kanser memainkan peranan yang besar untuk menentukan kadar kelangsungan hidup.

Oleh itu, untuk merumuskan kanser tidak boleh sembuh adalah tidak tepat, ia banyak bergantung pada tahap kanser tersebut.

2. Penyakit kanser boleh berjangkit

Tangappan ini adalah tidak tepat. Kanser tidak boleh berjangkit. Namun kanser boleh terjadi dari jangkitan virus, seperti daripada hubungan kelamin atau penggunaan jarum yang sama.

Human Pappilomavirus (HPV), hepatitis B dan C boleh menyebabkan barah serviks dan juga barah hati dengan cara jangkitan sebegini.

Walaupun virus tersebut boleh berjangkit daripada seseorang ,tetapi kanser secara amnya tidak akan berjangkit. Oleh itu anda tidak perlu menjarakkan diri atau cuba mengelakkan diri anda dengan pesakit kanser kerana kanser ini tidak berjangkit.

3. Kanser adalah sangat sakit

Untuk semua jenis kanser biasanya tidak memberi kesakitan, melainkan kanser tersebut berada pada tahap empat (tahap 4). Pada tahap 1 atau 2, kesakitan ini tidak dirasai.

Kesakitan ini sering dikaitkan dengan rawatan kemoterapi atau radioterapi untuk tahap ini. Tetapi anda perlu ingat, kesakitan yang disebabkan oleh rawatan ini ada penawarnya. Ubatan tahan sakit akan diberikan oleh doktor untuk keselesaan anda. Bagi yang terpaksa menjalani rawatan kemoterapi, anda mempunyai pilihan untuk menerima rawatan yang bersesuaian untuk anda.

4. Gula boleh menyebabkan kanser membesar

Mitos ini berdasarkan tanggappan yang sel kanser lebih cenderung untuk meresap gula daripada sel biasa. Malah ada yang mengangap gula menjadi sumber ‘baja’ untuk sel kanser itu terus membesar dan dengan mengurangkan kandungan gula, ia boleh mengecilkan sel kanser.

Ini sememangnya tidak betul sama sekali. Sel-sel di dalam badan kita, kanser atau tidak, memerlukan gula (glucose) untuk tenaga dan tumbesaran. Tidak ada kajian yang menunjukkan bahawa gula boleh membantu tumbesaran kanser sel atau mengecutkannya.

Bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa obesiti merupakan salah satu faktor terbesar kanser. Oleh sebab itu, individu yang makan terlalu banyak gula sehingga menjadi obesiti berisiko untuk menghidap beberapa jenis kanser.

5. Jika tiada sejarah kanser dalam kelurga, saya tidak akan mendapat kanser

Masyarakat memang sedar yang kanser disebabkan oleh mutasi DNA di dalam gen dan bertanggapan bahawa sesorang itu tidak akan mendapat kanser sekiranya tiada sejarah kanser di dalam keluarga.

Ini memang tidak tepat sekali. Dianggarkan 5-10 peratus kes kanser disumbangkan daripada mutasi gen manakala 90-95 peratus adalah disumbangkan dari faktor persekitaran dan komplikasi daripada gaya hidup kita seperti merokok dan obesiti. Namun, sekiranya ada hubungan kekeluargaan, anda perlu menjalani ujian saringan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mengelakkan risiko untuk mendapat kanser.

6. Ujian biopsi boleh menyebabkan kanser merebak

Ujian biopsi adalah satu process yang mustahak di dalam diagnosis kanser dan telah dipraktikkan sejak sekian lama. Setakat ini tiada kajian yang menunjukkan bukti yang konkrit di mana ‘tumour seedlings’ atau kesan merebak sel kanser dari biopsi boleh berlaku.

Kebanyakan peratus yang kecil ini disebabkan oleh ‘incisional biopsy’ di mana sebahagian tisu ketulan diambil untuk kajian berbanding dengan
‘excisional biopsy’ di mana ketulan yang keseluruhan itu dikeluarkan sekali gus. Namun setiap ujian biopsi yang dilakukan akan dilakukan secara cermat dan mengikut tatacara pengambilan tisu dengan cermat.

Oleh itu, anda janganlah risau sekiranya perlu menjalani ujian biopsi. Seperti yang saya katakan tadi, ujian biopsi ini sangat penting dalam proses rawatan anda.

7. Sikap seseorang akan memberi kesan untuk mengubati kanser

Hingga hari ini, masih tidak ada lagi sebarang kajian yang dapat membuktikan sama ada sikap seseorang itu mempunyai impak terhadap penyakit kanser yang mereka alami.

Tidak salah jika pesakit kanser ingin menangis atau rasa sedih kerana penyakit yang mereka alami lebih lebih lagi dengan kanser. Namun, individu yang mempunyai pemikiran yang positif selalunya akan kekal bersosial dan sentiasa aktif berbanding individu yang tenggelam dengan rasa sedih dan kecewa setelah menerima diagnosis kanser. Bersikap positif memang dapat memberi kesan dan membantu daripada segi psikologi untuk merintangi segala jenis penyakit.

8. Bolehkah penggunan telefon bimbit menyebabkan kanser?

Tidak! Ini adalah tanggapan yang salah. Seperti yang saya telah huraikan, kanser adalah disebabkan oleh mutasi gen. Radiasi dari telefon bimbit adalah berfrekeunsi rendah dan terlampau sedikit untuk merosakkan gen kita dan mengakibatkan mutasi.

9. Adakah produk herba dapat mengubati kanser?

Sesetengah kajian ada menunjukkan kebaikan herba mengurangkan kesan sampingan dari rawatan kanser TETAPI ia tidak sama sekali dapat mengubati kanser.

Ini anda perlu fahami. Walaupun banyak kebaikan yang telah diuar-uarkan tentang rawatan herba, pengambilan herba ini boleh memberi kesan buruk jika ia digunakan semasa rawatan kemoterapi atau radioterapi. Oleh itu, anda perlu berbincang dengan doktor anda sebelum mengambil makanan herba ini.

Sebenarnya, banyak lagi tanggapan dan mitos yang ada dalam kalangan masyarakat kita. Tetapi saya memang mengalakkan anda supaya berbincang dengan doktor anda sebelum membuat sebarang rumusan. Kesihatan anda adalah hak anda, oleh itu dapatkanlah informasi kesihatan yang betul daripada orang yang bertauliah.

Mugshot
datuk Dr. Shankar Gunarasa, Pakar Bedah Umum, Kolorektal, Laparoskopi dan Robotik di Pantai Hospital Ayer Keroh Melaka.

Sekiranya anda perlu mengetahui lebih lanjut tentang ujian saringan kanser atau ingin mengetahui tentang apa-apa perihal kanser, anda boleh berhubung dengan Datuk Dr. Shankar Gunarasa, Pakar Bedah Umum, Kolorektal, Laparoskopi dan Robotik di Pantai Hospital Ayer Keroh Melaka di talian 06 2319999 Samb; 2131.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

701
Kongsi :
Previous post SYUKUR MASIH RAMAI YANG PRIHATIN
Next post GURU WANITA RUGI RM890,000, DITIPU SINDIKET “PHONE SCAM”