
MELAKA WAJIBKAN PREMIS PAMER TANDA AMARAN LARANGAN MEROKOK
AYER KEROH 2 Julai – Semua pengusaha premis di negeri ini diwajibkan mempamer tanda amaran larangan merokok mengikut spesifikasi ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, ketetapan itu membabitkan semua premis tempat kerja iaitu bangunan kerajaan dan swasta, premis makanan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan, kedai serbaneka, kenderaan awam dan premis layan diri seperti dobi.
Menurut beliau, ketetapan itu dikuatkuasakan sepenuhnya di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] mulai 1 April 2025.
“Kewajipan ini tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Tanda Amaran Larangan Merokok) 2024 yang memerlukan setiap premis mempamerkan tanda amaran larangan merokok yang jelas, bersaiz standard dan mengikut reka bentuk yang telah ditetapkan dalam Jadual Pertama peraturan tersebut.
“Tanda larangan merokok perlu diletakkan di lokasi yang mudah dilihat seperti pintu masuk utama dan kawasan tumpuan pelanggan, serta mengandungi simbol yang lengkap termasuk larangan rokok elektronik,” katanya kepada pemberita.

Menurut Hee Sem, mulai 1 Januari hingga 31 Mei tahun ini sebanyak 5,828 premis larangan merokok telah diperiksa di seluruh Negeri Melaka dan daripada jumlah itu, sebanyak 222 premis telah dikompaun kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi terkini.
Jelas beliau, premis itu membabitkan tempat kerja termasuk premis makanan berjumlah 116 kompaun, diikuti kedai makan sebanyak (102) dan kedai dobi dengan empat kompaun.
“Sekiranya mana-mana premis didapati gagal mematuhi kewajipan yang ditetapkan, individu atau pemilik premis boleh dikenakan kompaun dan tindakan mahkamah yang boleh memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000.
“Justeru, Kerajaan Negeri menyeru semua pihak yang berkaitan khususnya pemilik-pemilik premis yang tersenarai sebagai premis larangan merokok agar segera mengambil langkah proaktif untuk memastikan pematuhan undang-undang ini demi melindungi kesihatan awam dan menjamin persekitaran bebas asap rokok untuk semua,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.