Sorting by

×

SURAU WARISAN DITUTUP SEMENTARA KERANA DIBAIK PULIH

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BEMBAN 3 Julai – Surau Warisan di Banda Hilir, ditutup sementara kerana sedang dibaik pulih bagi memberi lebih keselesaan kepada pengunjung dan pelancong di kawasan pelancongan itu menunaikan ibadah pada masa akan datang.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, menjelaskan surau berkenaan ketika ini tidak boleh digunakan untuk tempoh beberapa bulan berikutan kerja baik pulih yang sedang dijalankan dan Kerajaan Negeri telah menyediakan beberapa surau sementara tambahan di kawasan berhampiran demi kemudahan umat Islam untuk beribadah.

Justeru, beliau menepis dakwaan mengaitkan penutupan surau tersebut adalah bertujuan memberi laluan kepada penganjuran Pra-Peluncuran Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada Sabtu ini.

“Kerja menaik taraf surau itu oleh Perbadanan Melaka (MCORP) akan memberi manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada komuniti setempat, malah kepada pelancong beragama Islam dari dalam dan luar negara.

“Kebetulan kita akan mengadakan sambutan Pra-Peluncuran WTD di kawasan berkenaan dan sudah pasti akan ada pentas serta pelbagai kemudahan sementara yang dipasang, namun ia bukan dilakukan dalam kawasan surau, sebaliknya di lokasi sekitarnya yang lebih luas.

“Kita menjangkakan kehadiran lebih 10,000 pengunjung, maka kita perlu sediakan ruang mencukupi untuk menampung program yang membawa manfaat besar kepada pelancongan negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kebakaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop

Dalam pada itu, Rais turut meminta semua pihak supaya bersikap terbuka dan berfikiran positif terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam memajukan sektor pelancongan, tanpa mengabaikan aspek keagamaan.

“Negara kita terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama dan di Melaka, kita sentiasa menekankan keharmonian serta saling menghormati. Tidak timbul isu Kerajaan Negeri tidak menghormati umat Islam, malah saya sendiri adalah orang Islam dan sangat cakna soal ini.

“Apa yang dilakukan adalah demi memperlihatkan keindahan, kecantikan dan warisan bersejarah negeri ini kepada dunia luar, sambil terus menjaga keperluan serta senstiviti umat Islam,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan sensitiviti umat Islam di Melaka sentiasa diberi keutamaan, termasuk berkaitan isu surau yang terletak di kawasan warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1061
Kongsi :
Previous post DISKAUN KOMPAUN SEHINGGA 80 PERATUS DI HARI BERTEMU PELANGGAN MBMB
Next post JALAN BAHARU BEMBAN-SERKAM SIMBOL KEMAJUAN INKLUSIF