
KEBOCORAN ATAP JEJANTAS TUN TEJA: TINDAKAN SEGERA DIAMBIL, KESELAMATAN PENGGUNA DIUTAMAKAN
PENGKALAN BATU 3 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengambil tindakan segera berhubung insiden kebocoran pada struktur atap Jejantas Tun Teja seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
MBMB dalam satu kenyataan memaklumkan, sebaik menerima aduan, pemeriksaan teknikal secara menyeluruh telah dijalankan serta-merta oleh pasukan kejuruteraan MBMB bersama pihak kontraktor bertanggungjawab.
Menurut kenyataan itu, hasil laporan awal mendapati kerosakan tersebut berpunca daripada kerosakan sambungan bumbung sedia ada semasa hujan lebat luar jangka minggu lalu, selain turut menjelaskan ia tidak melibatkan struktur utama jejantas.
MBMB bagaimanapun memberikan perhatian serius terhadap isu tersebut dan memaklumkan kerja-kerja pembaikan akan dimulakan pada esok (4 Julai).
“Proses pembaikan ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh satu minggu, tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.
“Sepanjang tempoh pembaikan, MBMB akan mengambil langkah keselamatan seperti penutupan sementara kawasan terlibat, pemasangan papan tanda amaran, dan pemantauan berkala bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.
“MBMB amat menghargai segala pandangan, teguran dan keprihatinan masyarakat. Keterbukaan kepada maklum balas dan semakan awam adalah teras kepada amalan pentadbiran yang telus, profesional dan berintegriti,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, MBMB menzahirkan komitmen penuh untuk memastikan Jejantas Tun Teja bukan sahaja berfungsi seperti yang dirancang, malah menjadi simbol pembangunan moden, keselamatan awam, dan keunikan bandar Melaka yang kaya dengan sejarah dan terus bergerak ke arah kemajuan.
“Insiden ini akan dijadikan pengajaran dan titik penambahbaikan, termasuk melalui pemantauan rapi serta peningkatan standard kerja dan sistem pengauditan terhadap pelaksanaan projek infrastruktur awam pada masa akan datang,” tambah kenyataan tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.