
KOMPLEKS BALAI ISLAM BAKAL MENJADI MERCU TANDA BAHARU DURIAN TUNGGAL
DURIAN TUNGGAL, 11 Julai – Sebuah kompleks Balai Islam bakal dibina di Kampung Gangsa, Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan syiar Islam dan kesejahteraan ummah di Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, anggaran kos awal bagi projek pembinaan Balai Islam ini berjumlah RM18 juta dengan cadangan projek telah mendapat kelulusan awal dan kini menunggu kelulusan penuh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
“Saya telah turun padang meninjau tapak cadangan pembinaan kompleks Balai Islam ini yang dijangka menjadi nadi kepada pelbagai aktiviti keagamaan dan komuniti Islam di kawasan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika lawatan tapak hari ini.
Menurut beliau, kompleks ini bukan sekadar tempat ibadah tetapi bakal menjadi pusat pendidikan Islam, pengukuhan perpaduan dan pembangunan spiritual rakyat di kawasan itu.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron; dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim serta wakil agensi Kerajaan Negeri.
Terdahulu, Ketua Menteri turut bersarapan bersama penduduk Kampung Gangsa di Warung Azmi, beliau mengambil peluang untuk bertanya khabar dan mendengar secara langsung permasalahan komuniti, sejajar pendekatan kepimpinan mendengar suara rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.