Sorting by

×

MBMB PERKENAL TEMPAHAN BECA DALAM TALIAN MELALUI I-TRAFFIC

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperkenalkan ciri tempahan beca secara dalam talian bagi kemudahan penduduk dan pelancong menerusi sistem i-Traffic.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, sistem i-Traffic yang telah dilancarkan sebelum ini bagi membolehkan orang ramai melihat keadaan trafik semasa, telah ditambah baik dengan penambahan fungsi baharu yang lebih mesra pengguna.

Katanya, menggunakan medium terbabit, pelawat yang mahu menempah beca boleh melakukannya di mana-mana sahaja lokasi berhampiran lima checkpoint beca yang disenaraikan.

“Kini, menerusi sistem i-Traffic, pelawat boleh menempah perkhidmatan beca secara terus, di mana aplikasi ini bukan hanya membolehkan tempahan dibuat, tetapi turut menyediakan maklumat lengkap mengenai pengayuh beca termasuk nombor telefon, nombor lesen serta pengenalan diri mereka.

“Maklumat tersebut turut boleh dijadikan rujukan sekiranya berlaku sebarang insiden atau keperluan membuat aduan, sekali gus menambah baik aspek keselamatan dan kepercayaan dalam perkhidmatan pelancongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup dan Makan Malam Vibrant Conference yang disempurnakan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen dan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hasim.

Img 20250712 wa0002
SHADAN menunjukkan sistem i-Traffic yang kini sudah boleh diakses untuk membuat tempahan beca secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Shadan berkata sehingga kini lebih 300 pengayuh beca Negeri Melaka telah didaftarkan dalam sistem i-Traffic.

Jelasnya, dengan pengenalan ciri baharu itu, ia sekali gus menjadikannya antara platform digital pertama di negara ini yang menyelaras perkhidmatan beca secara menyeluruh dalam ekosistem bandar pintar.

“Selain itu, sistem i-Traffic turut menyediakan pelbagai informasi berkaitan keadaan bandar raya seperti status cuaca, suhu, kelembapan udara dan keadaan trafik sekitar kawasan tumpuan pelancong seperti Bandar Hilir.

“Pelawat kini boleh menyemak keadaan cuaca, suasana semasa dan laluan trafik secara masa nyata sebelum merancang perjalanan mereka di sekitar Melaka,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post POLIS SERBU KEGIATAN SABUNG AYAM, ENAM DITAHAN
Next post MELAKA PERKUKUH KOMITMEN TERAJUI TRANSFORMASI BANDAR