Sorting by

×

MAIM PERMUDAH HIDUP BAHARU PASANGAN MUALAF

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

KESIDANG 13 Julai – Hanya ucapan terima kasih dapat diungkapkan pasangan pengantin mualaf kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kerana telah banyak membantu mereka dalam menempuh kehidupan sebagai saudara baharu.

Rata-rata mereka mengakui bahawa MAIM bukan sahaja banyak membimbing dalam memperkukuh keimanan terhadap ajaran Islam, bahkan pada masa sama meraikan mereka dalam satu majlis pernikahan yang turut diselitkan pelbagai pengisian dalam membantu mereka melayari bahtera rumah tangga mengikut syariat agama.

Salah seorang pengantin mualaf, Hasma Samsuddin, 19, yang merupakan Orang Asli daripada suku Jakun, Pahang berkata, dia memeluk Islam pada Mei lalu dan sepanjang tempoh itu, banyak ilmu mengenai Islam telah dipelajari di Balai Islam MAIM.

“Guru-guru di Balai Islam MAIM banyak membantu dan memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada saya untuk menjadi isteri dan Muslim yang baik.

“Saya bersyukur kerana majlis pernikahan hingga ke persandingan berjalan lancar. Terima kasih tidak terhingga kepada MAIM kerana memudahkan segalanya,” katanya yang kini bergelar isteri kepada Muhammad Faiz Fathur Hakim, 28.

Img 20250712 163905 305
MUHAMMAD Haziq Mohamad Idris, 22 bersama isterinya, Nur Jannah Abdullah, 23 ditemui pada Program Pernikahan dan Walimatulurus Muallaf Negeri Melaka Siri 1/2025 di Laman Kaca, Kesidang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi pasangan mualaf dari Sarawak, Nur Jannah Abdullah, 23, dan suami, Muhammad Haziq Mohamad Idris, 22, mereka berasa terharu apabila majlis impian mereka menjadi kenyataan tanpa perlu menanggung beban kewangan yang besar.

“MAIM menaja sepenuhnya majlis ini, kami hanya sediakan mas kahwin. Insya-Allah, saya akan terus belajar mendalami Islam kerana sejak memeluk agama ini pada Februari lalu, hati saya lebih tenang,” ujar Nur Jannah.

Img 20250712 163816 690
PASANGAN pengantin, Zamri Mustaffa, 58 bersama isterinya, Agata Sri Wahyuni Sembiring, 40 ditemui pada Program Pernikahan dan Walimatulurus Muallaf Negeri Melaka Siri 1/2025 di Laman Kaca, Kesidang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, pasangan ‘veteran’, Zamri Mustaffa, 58, dan Agata Sri Wahyuni Sembiring, 40, turut menzahirkan kesyukuran selepas selamat dinikahkan dalam program tersebut.

“Isteri saya telah memeluk Islam hampir 10 tahun, namun kami masih terus belajar bersama, terutamanya dalam bab agama. Saya sendiri selalu beri dorongan dan turut hadir kelas agama apabila ada kelapangan,” kata Zamri.

Program anjuran Balai Islam MAIM itu menyaksikan seramai lima pasangan selamat diijabkabul dan diraikan dalam majlis yang ditaja sepenuhnya oleh pihak MAIM, termasuk persiapan majlis perkahwinan dan kenduri.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah dan turut dihadiri Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis; Pegawai Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM, Mohd Nasir Wahab.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

739
Kongsi :
Previous post ‘JAGA SUNGAI BUKAN MUDAH, TAPI BERBALOI’
Next post ECO CRUISE TASIK CHINCHIN TAWAR PELAYARAN MENDAMAIKAN