Sorting by

×

NAIK TARAF JALAN DUYONG BESTARI KE IKS DUYONG, BERMULA OKTOBER

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DUYONG 17 Julai – Kerajaan Negeri Melaka akan menaik taraf jalan sepanjang 1.6 kilometer dari Persimpangan Duyong Bestari ke kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Duyong, bermula pertengahan Oktober ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan, iaitu pada April 2027, dengan kos RM3.8 juta.

Katanya, projek tersebut dilaksanakan demi menyediakan pembangunan infrastruktur yang mampan khususnya buat penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan sekitar.

“Projek naik taraf ini penting bagi menangani isu kesesakan lalu lintas sekitar Duyong terutama pada waktu puncak iaitu pagi dan petang.

“Pembangunan ini sejajar dengan pelbagai pembangunan tempatan dalam DUN Duyong dan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Menaiktaraf Jalan di Dewan Serbaguna Kampung Bukit Duyong dan Program Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) Mengecat Parapat di Kawasan Jambatan Duyong (Jalan Duyong – Bukit Baru) di Dewan Serbaguna Kampung Bukit Duyong sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hameed berkata projek itu akan membabitkan skop menaik taraf jalan sedia ada, membina sebuah bulatan, naik taraf persimpangan sedia ada kepada lampu isyarat, menyelaras semula persimpangan lampu isyarat kepada ‘left in and left out’, pemasangan pembahagi jalan, pemasangan perabot jalan, pengalihan utiliti dan pengambilan tanah.

“Laluan ini juga bakal berfungsi sebagai laluan alternatif strategik bagi pelancong dari arah Selatan yang memasuki Melaka melalui Tol Jasin untuk ke pusat bandar.

“Langkah ini dijangka akan membantu meningkatkan nilai ekonomi sekitar menerusi limpahan sektor pelancongan.

“Saya yakin laluan ini akan memberi impak positif kepada rakyat daripada segi aksesibiliti, kelancaran ekonomi dan kesejahteraan hidup secara keseluruhan,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6692
Kongsi :
Previous post POLIS TUMPAS ‘GENG DIKA BAYU’ AKTIF CURI KABEL DI KEDAH