
MPHTJ SELESAI 94 PERATUS ADUAN RAKYAT
AYER KEROH 19 Julai – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berjaya menyelesaikan 94 peratus daripada keseluruhan aduan rakyat yang diterima bagi tempoh Januari hingga pertengahan Julai 2025.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 2,023 aduan telah direkodkan dan daripada jumlah itu 1,904 berjaya diselesaikan, manakala 119 masih dalam tindakan.
“Alhamdulillah pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat dan gerak kerja bersepadu antara semua jabatan, unit serta agensi kerajaan yang terlibat.
“Jika dinilai daripada aspek pencapaian organisasi ini saya amat berpuas hati, namun usaha peningkatan masih perlu diperhebatkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MPHTJ bagi bulan Julai 2025 di Pentas Utama Kompleks Melaka Mall, di sini, semalam.
Menurut Sapiah, kejayaan tersebut turut didorong oleh komitmen semua jabatan dan unit yang berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.
“Matlamat kita setiap bulan adalah memastikan semua perkara di peringkat jabatan dan unit dapat diselesaikan mengikut perancangan,” katanya.
Sapiah, turut mengingatkan semua warga kerja MPHTJ agar terus mengekalkan integriti dan profesionalisme dalam menjalankan amanah.
“Peranan kita sebagai penjawat awam adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Mari kita berganding bahu menjadikan kawasan pentadbiran Hang Tuah Jaya sebagai sebuah bandar yang maju dan sejahtera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.