
MELAKA TERUS JADI PILIHAN SYARIKAT GLOBAL, BUKA 500 PELUANG PEKERJAAN BERKUALITI TINGGI
KOTA LAKSAMANA 18 Julai – Melaka terus diiktiraf sebagai destinasi pelaburan pilihan apabila menjadi destinasi pertama pilihan sebuah syarikat perkhidmatan ujian klinikal bertaraf global dari Amerika Syarikat untuk bertapak dan membuka operasinya di Asia Tenggara.
Pembukaan Intrinseque Health di Jalan Portugis, iaitu terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka itu sekali gus bakal memperkukuh landskap bioteknologi dan kesihatan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, fasiliti tersebut bukan sahaja bakal memacu ekonomi negeri, bahkan ia juga dijangka membuka lebih 500 peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Malah, ujar beliau, fasiliti yang merupakan cawangan ke-10 di dunia itu juga turut lengkap menyediakan program latihan kemahiran dan peningkatan kecekapan, sekali gus perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak Melaka.
“Inilah cara kita membina ekonomi berpendapatan tinggi yang inklusif dengan membawa syarikat-syarikat pelaburan berimpak tinggi ke Melaka.
“Keputusan Intrinseque Health untuk melabur dan beroperasi di Melaka membuktikan kedudukan negeri ini yang semakin diiktiraf sebagai pusat inovasi serantau, khususnya dalam logistik kesihatan digital dan industri pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Intrinseque Health (M) Sdn Bhd, di Jalan Portugis, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Khairul Azreem Mamat dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Intrinseque Health Nitin Jain.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kerk Chee Yee; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong serta lain-lain kenamaan.
Ketua Menteri berkata, Melaka juga bakal menjadi tapak kepada gudang ujian klinikal pertama yang diperakui Amalan Perkilangan Baik (GMP) oleh syarikat berkenaan yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Jelas beliau, kemudahan itu dijangka menjadi hab serantau penting yang menetapkan penanda aras baharu dalam aspek pematuhan, keselamatan dan kecekapan operasi.
“Kerajaan Negeri turut mempelawa lebih ramai pelabur dan pemain industri global untuk memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor bioteknologi, kesihatan digital dan logistik pintar bagi rantau Asia Tenggara,” tambah beliau
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.