
LEFTENAN MUDA MAUT, KERETA REMPUH LORI TANGKI
LENDU 19 Julai – Seorang pegawai tentera maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori tangki di Jalan Solok Duku, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Muhammad Akmal Mohamad Amjaduzzahwi, 24, berpangkat Leftenan Muda di Kem Terendak, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi dipandu mangsa dari arah Masjid Tanah menghala ke Kem Terendak manakala lori tangki dipandu lelaki berusia 42 tahun menghala ke arah Masjid Tanah.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori tangki terbabit.
“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, cuaca ketika kejadian adalah baik dengan pencahayaan jalan mencukupi, namun tiada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh setakat ini bagi membantu siasatan.
“Pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan hasil saringan air kencing mendapati dia bebas daripada sebarang pengaruh dadah.
“Jenazah mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat, manakala kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan Puspakom dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.