
WAJAH BAHARU TAMAN BANDARAYA BUKIT SERINDIT
DUYONG 20 Julai – Dahulunya, ia dianggap sebagai kawasan rekreasi biasa untuk orang ramai bersenam dan beriadah, namun kini Taman Bandaraya Bukit Serindit sudah berubah wajah menjadi tempat hiburan seisi keluarga.
Transformasi itu merupakan antara usaha dilakukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam mewajah satu-satunya taman rekreasi yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, perubahan yang dilakukan saban tahun kini menjadikan kawasan tersebut sebagai salah satu pusat tarikan pelancong yang menarik di negeri ini.
Malah, beliau memaklumkan, MBMB turut merancang satu pembangunan yang komprehensif di kawasan tersebut pada masa akan datang, sekali gus memberi nilai tambah kepada kawasan tarikan untuk orang awam itu.
“Dimaklumkan satu ‘master plan’ telah dirangka MBMB di Taman Bandaraya Bukit Serindit ini, namun ia melibatkan kos yang agak besar dan permohonan telah diangkat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Pembangunan ini akan dilakukan secara terancang, ia tidak boleh dilakukan secara berperingkat kerana kita bimbang apabila buat sesuatu penambahbaikan yang baharu, yang lama pula mengalami kerosakan.
“Apapun, penambahbaikan demi penambahbaikan yang dilakukan diharap dapat terus mengubah dan merancakkan taman rekreasi ini sebagai antara lokasi tumpuan di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Mohd Noor Helmy hadir memeriahkan Mini Karnival Taman Bandaraya Bukit Serindit anjuran MBMB bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Mini karnival itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian antaranya Langkah Sihat Bersama Komuniti, sukan rakyat, gimik penanaman pokok, sentuhan akhir lukisan mural serta pelbagai lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.