Sorting by

×

SARINGAN PERCUMA BANTU IBU BAPA KENAL PASTI ANAK ISTIMEWA

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DUYONG 20 Julai – Menyedari kesukaran ibu bapa mendapatkan diagnosis awal untuk anak-anak berkeperluan khas, Program Saringan Anak Istimewa (SAI) telah dilaksanakan secara percuma bertempat di Surau Ar Redhuan, Taman Semabok Perdana, di sini.

Program selama dua hari cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem itu dianjurkan oleh Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka dengan kerjasama Akademi Ikhlas khas bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Menurut Pakar Kanak-Kanak dan Bayi PSH Melaka, Dr. Adam Al-Anas Mat Ali, program itu membuka ruang kepada ibu bapa untuk mendapatkan saringan awal serta panduan intervensi bagi anak-anak yang disyaki mengalami autisme.

“Anak-anak autisme ini mempunyai banyak kategori. Ada yang hiperaktif, mempunyai masalah pembelajaran, kelewatan pertuturan dan sebagainya.

“Idea ini datang daripada YB Helmy sendiri yang minta kami di PSH bersama Akademi Ikhlas menjayakannya.

“Beliau sedar betapa sukarnya ibu bapa mahu mendapatkan saringan awal. Malah, difahamkan janji temu di hospital kerajaan untuk ujian pendengaran sahaja pun boleh ambil masa hampir dua tahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program berkenaan yang diadakan di Surau Ar-Redhuan, Semabok, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengasas Akademi IKHLAS Pusat Intervensi Awal Kanak-kanak OKU, Norashikin Ismail.

Img 20250719 wa0053
DR. Adam Al-Anas sedang berkomunikasi bersama salah seorang anak istimewa (autisme).

Menurut Dr. Adam Al-Anas, melalui program itu, ibu bapa bukan sahaja mendapat maklumat tentang keadaan anak mereka, malah terus menerima cadangan intervensi bersesuaian secara langsung daripada pasukan pakar yang terlibat.

“Ramai anak nampak normal secara luaran, tetapi hanya apabila diberi perhatian lebih dekat, kita dapat kesan tanda-tanda gangguan perkembangan.

“Tanpa program seperti ini, kebanyakan ibu bapa tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Selain PSH dan Akademi Ikhlas, program itu turut disokong oleh Jeperun Duyong, Hospital Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), sekolah pendidikan khas serta pakar psikologi dan terapi kanak-kanak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post MAHKOTA PARADE DISERBU PEMINAT MUZIK ‘GALAU’
Next post CUCI-CUCI DUYONG TUMPU KAWASAN TERBIAR, TANAH WAKAF