Sorting by

×

MAHKOTA PARADE DISERBU PEMINAT MUZIK ‘GALAU’

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 20 Julai – Gelombang muzik ‘galau’ yang meresap ke jiwa anak-anak muda membuatkan pusat beli belah, Mahkota Parade sekali lagi menjadi tumpuan dengan kehadiran lebih 2,000 pengunjung sempena Pentas Patahati, semalam.

Bertemakan ‘Definisi Sebuah Penyembuhan Emosi’, acara itu membariskan persembahan daripada kumpulan muzik lokal seperti Bulan Band, Ejam Wilde dan Semara Band yang menyanyikan lagu-lagu popular mengulit kenangan percintaan serta mengubati kekecewaan.

Pentas Patahati anjuran Catna Music turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik seperti Panggung Bangsawan, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) dan World Tourism Melaka (WTM).

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati pengunjung yang terdiri daripada anak muda dilihat mula memenuhi ruangan pentas utama pusat beli belah itu seawal jam 1 tengah hari lagi.

Sebermula persembahan daripada pemuzik pada jam 2.30 petang menyaksikan semakin ramai pengunjung mula memenuhi perkarangan pentas, selain setiap aras pusat beli belah tersebut.

Img 20250719 wa0064
SEMARA Band antara kumpulan muzik tempatan yang menghiburkan pengunjung Pentas Patahati bertempat di Pentas Utama, Mahkota Parade.

Selain menyanyikan bersama bait-bait lagu didendangkan, rata-rata pengunjung turut memakai baju mengikut tema ditetapkan iaitu hitam, merah dan putih yang mempunyai makna tersendiri.

Biarpun diadakan dalam bangunan dan tidak seperti kebanyakan konsert galau, namun pusat beli belah itu nyata berjaya menghimpunkan anak-anak muda untuk ‘healing’ sambil menikmati irama yang menyapa jiwa.

Difahamkan, Pentas Patahati itu merupakan sebahagian siri jelajah bagi mempromosikan Perayaan Patahati Universe yang akan berlangsung pada 23 Ogos ini di Panggung Bangsawan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

617
Kongsi :
Previous post WAJAH BAHARU TAMAN BANDARAYA BUKIT SERINDIT
Next post SARINGAN PERCUMA BANTU IBU BAPA KENAL PASTI ANAK ISTIMEWA