
PETUGAS PEMBERSIHAN SWM ENVIRONMENT ANTARA JAYAKAN CUCI-CUCI DUYONG
DUYONG 20 Julai – Seramai 40 kakitangan SWM Environment menjayakan Program Cuci-Cuci Duyong bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang diadakan di Kampung Pengkalan Rama Tengah, di sini, hari ini.
SWM Environment dalam satu kenyataan memaklumkan, secara keseluruhan program itu melibatkan seramai 180 pekerja pembersihan, termasuk 140 kakitangan daripada agensi lain yang turut menyumbang tenaga.
Menurut kenyataan itu, antara kawasan yang dibersihkan termasuklah tanah wakaf, kawasan tanah perkuburan, laluan siar kaki dan tanah terbiar yang sebelum ini tidak diselenggara secara tetap.
“SWM Environment membawa beberapa unit jentera pembersihan pelbagai guna seperti tong roro, water jet, jengkaut serta mesin ‘ultra whack’ bagi mempercepat dan melancarkan proses pembersihan.
“Selain itu, aktiviti pembersihan turut meliputi laluan siar kaki sepanjang 1.4 kilometer bermula dari Jalan Durian Daun hingga ke Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, pihak SWM Environment berbesar hati dapat bersama-sama menjayakan program WRUR DUN Duyong yang bukan sahaja bertujuan memperindah kawasan setempat, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek kebersihan.
“Program ini juga merupakan kali pertama melibatkan kerjasama SWM Environment bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam aktiviti gotong-royong komuniti yang turut disertai pemimpin masyarakat setempat,” jelas kenyataan itu.
Program tersebut turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor dan Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Sdn Bhd Melaka, Khaw Su Aun serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.