
KLINIK KESIHATAN DUYONG BERADA DI SENARAI TERATAS
DUYONG 21 Julai – Pembinaan Klinik Kesihatan Duyong akan menjadi keutamaan oleh Kerajaan Negeri apabila semua proses pengambilan tanah selesai, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Beliau berkata, komitmen itu dizahirkan sendiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan klinik berkenaan yang terletak berhampiran Japerun Duyong, baru-baru ini.
Menurut beliau, sebelum ini, proses pengambilan tanah sedikit tergendala ekoran terdapat satu lot yang masih belum selesai memandangkan kesemua warisnya telah meninggal dunia, namun ia kini di peringkat akhir perolehan.
“Sebaik proses pengambilan tanah selesai, pembinaan Klinik Kesihatan Duyong ini akan berada di senarai teratas dan dimasukkan dalam bajet pembinaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Saringan Anak Istimewa (SAI) Secara Percuma bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Surau Ar Redhuan Taman Semabok Perdana, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pembinaan klinik kesihatan baharu di Duyong itu kini menjadi keperluan mendesak memandangkan klinik kesihatan berhampiran iaitu di Ayer Molek dan Ujung Pasir tidak mampu menampung kapasiti pesakit.
“Oleh sebab itu, Klinik Kesihatan Duyong ini perlu dibina dengan kadar segera bagi memastikan survival kesihatan dan kesejahteraan lebih 36,000 rakyat di dalam DUN Duyong ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.