Sorting by

×

PROJEK NAIK TARAF BENTENG PANTAI DI TANJUNG BIDARA BERJALAN SEPERTI YANG DIRANCANG

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Julai – Projek Menaik Taraf Benteng Pantai di Tanjung Bidara berjalan seperti dirancang dan dijangka siap sepenuhnya pada 14 September 2026.

Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, projek berkenaan sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka bermula pada 15 Ogos 2024.

Jelas kenyataan tersebut, projek yang dikendalikan kontraktor Aromas Teguh Enterprise dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2,290,520 itu adalah bertujuan melindungi kawasan pantai Tanjung Bidara daripada kesan hakisan dan impak fenomena air pasang besar melalui pembinaan struktur perlindungan pantai yang lebih berkesan dan mampan.

Kerajaan Negeri bagaimanapun dimaklumkan, berlaku penangguhan sementara kerja fizikal di tapak susulan keperluan perubahan kepada reka bentuk asal projek, di mana keputusan itu dibuat oleh Bahagian Pengurusan Zon Pantai (BPZP), JPS Malaysia, selaras dengan keperluan teknikal semasa dan keutamaan perlindungan jangka panjang.

“Walau bagaimanapun, kerja-kerja di tapak akan disambung semula bermula 21 Julai 2025 (Isnin). Malah, kerja-kerja ukur berdasarkan reka bentuk baharu telah pun dimulakan oleh pihak kontraktor pada 18 Julai 2025 (Jumaat).

“Kerajaan Negeri Melaka mengambil maklum akan keprihatinan masyarakat setempat berhubung pelaksanaan Projek Menaik Taraf Benteng Pantai di Tanjung Bidara,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan sama turut memaklumkan, terdapat tiga reka bentuk baharu yang telah dipersetujui melibatkan penambahbaikan teknikal, antaranya, penambahan dua lapisan sistem pertahanan pantai (Coastal Defence Structure – CDS) bagi meningkatkan kecekapan perlindungan daripada hakisan.

“Selain itu, reka bentuk baharu itu turut merangkumi pembinaan struktur ‘revetment’ bagi menyokong kestabilan garis pantai dan kerja-kerja penambakan pasir pantai sebagai zon penampan hakisan semula jadi,” tambah kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan sama, sehingga 25 Jun 2025, kemajuan fizikal projek telah mencapai 40 peratus, iaitu 5 peratus lebih awal daripada jadual asal (35 peratus) atau bersamaan 25 hari lebih awal daripada perancangan.

“Pencapaian ini menunjukkan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek.

“Kerajaan Negeri juga ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kelewatan atau penggantungan projek, sebaliknya kerja-kerja terus dilaksanakan seperti yang dijadualkan, selaras dengan reka bentuk teknikal terkini yang lebih efisien dan lestari,” tambahnya.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan, satu sesi libat urus bersama wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara, Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, serta wakil komuniti setempat telah diadakan pada 11 Jun 2025 di tapak projek, sebagai langkah memperkukuh kefahaman dan kerjasama antara semua pihak.

“Kerajaan Negeri Melaka sentiasa komited untuk memastikan setiap projek pembangunan infrastruktur negeri dilaksanakan dengan telus, berkesan dan berpaksikan kepentingan rakyat,” tambah kenyataan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post MINI KARNIVAL TAMAN BANDARAYA BUKIT SERINDIT MEDAN PENYATUAN MASYARAKAT
Next post TIADA KELEWATAN DALAM PROJEK NAIK TARAF BENTENG PANTAI TANJUNG BIDARA