Sorting by

×

PROJEK PEJABAT MBMB DIBATALKAN, MASIH DALAM TINDAKAN MAHKAMAH

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 21 Julai – Kerajaan Negeri mengesahkan tiada sebarang perancangan pembangunan baharu di tapak bekas projek pembinaan pejabat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Klebang, susulan pembatalan projek berkenaan sejak 2018.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata pembatalan itu dibuat menerusi keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Bilangan 21/2018 pada 30 Mei 2018.

Menurutnya, cubaan menamatkan projek tersebut secara persetujuan bersama melalui perbincangan antara MBMB dan kontraktor pada 6 Jun lalu tidak mencapai kata sepakat.

“Kes ketika kini dalam proses penyelesaian undang-undang di mahkamah selepas kontraktor mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Melaka pada 14 Januari 2025 yang menolak permohonan penggantungan untuk dirujuk ke timbang tara.

“Jika penyelesaian dapat dicapai, pihak kontraktor dijangka menarik balik rayuan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Wira Lim Ban Hong (BN-Klebang) dalam Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Tambah Rais, selagi perbicaraan tuntutan oleh kontraktor belum selesai, tiada sebarang perancangan pembangunan baharu boleh dilaksanakan di tapak berkenaan.

“MBMB sentiasa terbuka menerima cadangan dan idea pembangunan semula tapak berkenaan, tertakluk kepada kesesuaian serta kelulusan pihak berkuasa selepas isu perundangan diselesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1408
Kongsi :
Previous post KES DERA DI TASKA TURUN 85 PERATUS
Next post MBMB RANGKA NAIK TARAF KOMPREHENSIF PASAR WILAYAH KOTA LAKSAMANA