Sorting by

×

TEKUN LULUS PEMBIAYAAN KEPADA 502 USAHAWAN MELAKA 

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 23 Julai – Seramai 502 usahawan di Melaka menerima pembiayaan berjumlah RM10.6 juta daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata bagi keseluruhan tahun 2025, TEKUN telah memperuntukkan sebanyak RM29 juta bagi membantu seramai 1,100 usahawan di seluruh negeri ini melalui pelbagai skim pembiayaan.

“TEKUN hanya menyediakan kemudahan pembiayaan sahaja dan tidak menawarkan geran. Namun ia kekal menjadi antara tonggak utama dalam membiayai usahawan mikro dan kecil di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Allex turut memaklumkan bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga menyalurkan pelbagai bantuan dan geran keusahawanan kepada usahawan kecil, khususnya di kawasan luar bandar di negeri ini.

“Antara program yang dilaksanakan sepanjang tahun 2024 adalah Program Pembangunan Teknologi (ADAPT) berjumlah RM180,000 melibatkan 13 usahawan, Program Pensijilan Usahawan MARA (BEST) RM354,651 (59 usahawan).

“Selain Program Pendigitalan Perniagaan MARA sebanyak RM251,709 (33 usahawan) serta Latihan Keusahawanan dan Program Pembangunan Teknologi sebanyak RM539,445.73 (1,013 usahawan).

Katanya lagi, bagi Skim Pembiayaan MARA, sebanyak RM21,275,630 telah diluluskan pada tahun lalu yang memberi manfaat kepada 179 usahawan di negeri ini.

“MARA juga akan mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan dengan melaksanakan permohonan secara dalam talian.

“Penilaian dan pemantauan projek akan diperketat bagi menjamin keberkesanan serta prestasi perniagaan yang lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

654
Kongsi :
Previous post MELAKA ELAK TANAH TERBIAR JADI ‘HUTAN BUATAN MANUSIA’
Next post ECO CRUISE SUNGAI LINGGI BAKAL BERI TEMPIAS KEPADA NELAYAN