Sorting by

×

TUKAR ALAMAT KAMPUNG DIGITAL KINI PERCUMA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Semua penduduk terlibat dengan inisiatif Kampung Digital kini boleh melengkapkan proses menukar alamat secara percuma, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri berkata ia adalah susulan persetujuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyokong inisiatif Kampung Digital, sekali gus memudahkan urusan penukaran alamat penduduk yang terlibat.

“Sekarang ini 50 peratus kos menukar alamat ditanggung Kerajaan Negeri dan 50 peratus lagi ditaja oleh KDN. Jadi saya menggesa semua penduduk di Kampung Digital supaya jangan berlengah, terus ke Pejabat JPN berhampiran bagi urusan menukar alamat.

“Bawa bersama surat yang diberikan, tawaran ini adalah untuk semua penduduk di Kampung Digital sahaja, termasuk kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Menteri berkata, tawaran percuma itu sah sehingga hujung tahun ini dan selepas tempoh berkenaan mereka gagal berbuat demikian akan dikenakan bayaran.

“Jangan lambat kerana apabila tahun hadapan kita ubah enakmen dan semua urusan dengan jabatan kerajaan mesti mengikut alamat terkini (alamat Kampung Digital). Sudah tidak boleh guna alamat ikut perbatuan (alamat lama), jadi perlu tukar alamat terlebih dahulu untuk selesaikan urusan.

“Saya amat beraharap penduduk Melaka terlibat dalam Kampung Digital ambil peluang untuk bersama-sama kita membangunkan melaka dalam dunia serba keboleupayaan digital,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post ANGKAT PRODUK ‘MADE IN RIM’ DI WTD 2025
Next post APLIKASI TUAH JADIKAN TADBIR URUS UTILITI MELAKA LEBIH RESPONSIF