Sorting by

×

APLIKASI TUAH JADIKAN TADBIR URUS UTILITI MELAKA LEBIH RESPONSIF

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Aplikasi ‘Trusted Utility Application Hub’ atau ‘TUAH’ diperkenalkan Koridor Utiliti Melaka (KUM) Sdn Bhd mencerminkan wajah baharu tadbir urus utiliti di Melaka yang lebih pantas, telus dan responsif.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, aplikasi itu dibangunkan sebagai platform sehenti berasaskan data yang menyepadukan keseluruhan proses kerja utiliti secara dalam talian.

“Ini adalah wajah baharu tadbir urus utiliti di Melaka, lebih pantas, telus dan proaktif. Malah melalui TUAH, urusan teknikal dapat diselaraskan dengan lebih efisien, sekali gus menoktahkan kerenah birokrasi sekian lama membelenggu kelancaran projek infrastruktur negeri.

“Pendek kata, TUAH adalah asas kepada ‘smart infrastructure governance’ yang mana data menjadi teras keputusan, sistem menjadi pemudah cara manakala teknologi menjadi tunjang kemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat KUM Sdn Bhd Dan Sistem Aplikasi Atas Talian ‘Trusted Utility Application Hub’ – TUAH, turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, di Menara Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Penasihat Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif KUM Sdn Bhd Ismael Hamdan.

Menurut Ab Rauf, beliau tidak mahu Melaka terus berpaut kepada pendekatan lama sebaliknya mesti beralih kepada budaya kerya dan sistem yang proaktif.

“Saya mahu melihat setiap pembangunan utiliti di negeri ini dirancang secara telus dan keputusan dapat dipacu oleh data selain setiap pelaksanaan diselaras secara tuntas.

“Ini supaya setiap sen yang dibelanjakan benar-benar membawa impak sebenar kepada rakyat dan negeri,” katanya.

Jelas Ketua Menteri, beliau juga yakin dengan adanya pejabat fizikal KUM Sdn Bhd dan sistem digital seperti TUAH ini, Melaka akan berada selangkah ke hadapan dalam menarik pelaburan berimpak tinggi khususnya sektor yang memerlukan kecekapan utiliti sebagai prasyarat utama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

376
Kongsi :
Previous post TUKAR ALAMAT KAMPUNG DIGITAL KINI PERCUMA – KM
Next post KUM SELARAS INFRASTRUKTUR UTILITI BERSISTEMATIK