
KUM SELARAS INFRASTRUKTUR UTILITI BERSISTEMATIK
AYER KEROH 25 Julai – Kerajaan Negeri menyokong penuh penubuhan sebuah entiti khusus berperanan menyelaras keperluan utiliti secara rentas sektor, sekali gus memacu anjakan struktur tadbir urus pembangunan lebih proaktif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf berkata, penubuhan Koridor Utiliti Melaka (KUM) Sdn Bhd adalah cetusan idea daripada visi strategik untuk menjadikan Melaka sebagai perintis dalam penyelarasan infrastruktur utiliti lebih sistematik, bersepadu dan responsif terhadap keperluan pembangunan semasa.
Katanya, Kerajaan Negeri menerusi KUM Sdn Bhd juga melakar lonjakan reformasi dalam pengurusan utiliti dan infrastruktur selari dengan aspirasi membina Melaka sebagai negeri pintar, cekap dan berdaya saing.
“KUM akan menjadi jambatan strategik untuk menyelaras pembangunan infrastruktur digital termasuk pembinaan Rangkaian Fiber Optik Akses Terbuka, Tiang Gentian Optik Bersepadu dan Terowong Utiliti Bersepadu atau Dedicated Utilities Road Crossing (DURC).
“Malah pejabat urusan KUM Sdn Bhd juga akan menjadi hab strategik menghimpunkan perancangan, data dan tindakan ke arah ekosistem utiliti yang lebih tersusun, pintar serta berdaya saing selain mampu menyokong pertumbuhan Melaka secara holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat KUM Sdn Bhd Dan Sistem Aplikasi Atas Talian ‘Trusted Utility Application Hub’ – TUAH, turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, di Menara Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Penasihat Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif KUM Sdn Bhd Ismael Hamdan.
Jelas Ketua Menteri, KUM Sdn Bhd juga mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan B40 yang kurang berkemampuan apabila menawarkan permohonan Permit Utiliti Bawah Tanah (UDM) secara percuma bermula 1 Ogos ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.