
MENCORAK HALA TUJU PEMBANGUNAN SEKTOR PERTANIAN MELAKA
Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat
AYER KEROH 25 Julai – Data Laporan Interim Bancian Pertanian 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan dijadikan panduan oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan trasformasi, sekali gus mengukuhkan lagi aspek keterjaminan makanan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara penekanan akan diberikan perhatian menerusi trasformasi itu adalah memperluaskan lagi penglibatan belia melalui program pertanian pintar dan latihan kemahiran.
Katanya, turut diberikan fokus adalah mengukuhkan pemusatan tanah supaya pengusaha kecil dapat menikmati skala ekonomi yang lebih baik dan memperkasa penggunaan teknologi moden (smart farming) bagi meningkatkan hasil serta daya saing.
Menurutnya lagi, laporan berkenaan adalah satu dokumen penting yang memberikan gambaran sebenar tentang kekuatan dan cabaran sektor pertanian Negeri Melaka.
Jelasnya antara dapatan utama laporan itu adalah Melaka merekodkan 13,824 pegangan pertanian, dengan 94.2 peratus dikendalikan oleh individu.
“Nilai jualan keseluruhan sektor pertanian Melaka mencecah RM3.6 bilion, satu angka yang membuktikan kekuatan sektor ini dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
“Namun, kita berdepan cabaran serius dimana 55.3 peratus pengusaha pertanian adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas, manakala penglibatan belia sangat rendah, iaitu hanya 10.1 peratus sahaja,” kata Ketua Menteri ketika berucap menyempurnakan Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Ab Rauf berkata, subsektor tanaman, khususnya kelapa sawit, kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai jualan lebih RM1 bilion, diikuti subsektor ternakan (RM1.9 bilion), serta perikanan dan akuakultur yang turut memainkan peranan penting.
“Kerajaan Negeri Melaka komited menjadikan dapatan ini sebagai panduan untuk menggubal dasar yang lebih inklusif. Kita mahu pastikan pengusaha kecil juga menikmati manfaat besar daripada transformasi ini, sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri peneraju dalam pertanian moden dan lestari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
203