Sorting by

×

MEMULIA AGAMA DAN ANAK ISTIMEWA, PERKASA BUDAYA ANTARA KEJAYAAN MANIS WRUR DUYONG

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

DUYONG 26 Julai – Memulia agama Islam dan anak istimewa, selain memperkasa akar budaya menjadi antara kejayaan paling bermakna sepanjang dua minggu penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kejayaan itu sekali gus mencerminkan bahawa WRUR bukan sebuah program sekadar ada, sebaliknya membawa impak luar biasa kepada rakyat di setiap kawasan.

Beliau bagaimanapun berkata, kejayaan itu bukan datang daripada dirinya dan pasukan semata-semata, sebaliknya ia dicipta hasil kesepaduan dan kerjasama erat di antara pelbagai pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan serta pihak-pihak swasta.

“Dalam dua minggu ini pelbagai program dengan pengisian berbeza telah berjaya dianjurkan khas untuk warga Duyong dan alhamdulillah semuanya mendapat sambutan hebat.

“Kejayaan ini bukan tentang Duyong sahaja, tetapi ia adalah kejayaan untuk Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu menyentuh hati rakyat di peringkat akar umbi menerusi WRUR.

“Alhamdulillah di Duyong kita telah membuktikan kerjasama erat sebagai sebuah keluarga besar di antara Japerun bersama agensi dan jabatan, pihak swasta dan rakan-rakan media, ia menjadikan WRUR Duyong luar biasa daripada yang biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Duyong yang disempurnakan Ketua Menteri di Dewan Terbuka Semabok Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, WRUR yang diilhamkan Ketua Menteri telah terbukti berjaya mencapai objektifnya selepas enam edisi penganjurannya.

Jelas beliau, ia selepas melihat sendiri banyak pencapaian telah dilakar di semua kawasan terlibat, selain pelbagai masalah yang sebelum ini tidak dapat diselesaikan telah berjaya disantuni sebaiknya demi kesejahteraan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

418
Kongsi :
Previous post SEBAK LIHAT RUMAH PUSAKA DIMAMAH USIA KINI SEAKAN BAHARU
Next post APLIKASI ‘TUAH’ JIMAT MASA, TAMBAH BAIK URUS TADBIR UTILITI MELAKA