Sorting by

×

APLIKASI ‘TUAH’ JIMAT MASA, TAMBAH BAIK URUS TADBIR UTILITI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Sistem aplikasi dalam talian ‘Trusted Utility Application Hub’ atau TUAH yang dibangunkan Koridor Utiliti Melaka (KUM) Sdn. Bhd. dapat menjimatkan masa permohonan membabitkan aspek utiliti sehingga 40 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif KUM Sdn. Bhd. Ismael Hamdan berkata, aplikasi yang dibangunkan itu adalah satu sistem digital pintar untuk mempercepatkan permohonan, menyelaras proses dan menjimatkan masa termasuk kos.

Beliau berkata, platform itu menjadi simbol kesediaan KUM Sdn. Bhd. ke arah pendigitalan dan kemudahan urus tadbir utiliti di Melaka.

“Aplikasi ini boleh digunakan oleh pemohon bermula 1 Ogos ini dan untuk fasa pertama aplikasi TUAH ini ia membabitkan pemohon, KUM serta konsultan sahaja.

“Kita sasarkan menerusi aplikasi ini ia boleh menjimatkan masa antara 30 hingga 40 peratus berbanding jangka masa permohonan yang dibuat sebelum ini secara manual.

“Menerusi aplikasi TUAH, segala dokumen termasuk lakaran pemetaan atau ‘drawing’ boleh terus dimuat naik begitu juga pembayaran boleh dibuat secara terus menerusi sistem yang dibangunkan,” katanya.

Img 20250726 171520 649
KETUA Pegawai Eksekutif Koridor Utiliti Melaka (KUM) Sdn. Bhd. Ismael Hamdan. Foto Afiq Mustaffa

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Pejabat KUM Sdn. Bhd. Dan Sistem Aplikasi Atas Talian ‘Trusted Utility Application Hub’ – TUAH, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Menara Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Khairul Azreem Mamat dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.

Menurut Ismael, selepas pelaksanaan TUAH fasa pertama, KUM Sdn. Bhd. kini giat membangunkan TUAH fasa kedua yang akan memberikan perkhidmatan secara menyeluruh dan dijangka akan dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.

“Untuk fasa kedua nanti kita mahukan secara menyeluruh, di mana semua agensi kerajaan terlibat dan boleh akses aplikasi ini. Namun begitu ia memerlukan satu penelitian dari Kerajaan Negeri kerana membabitkan dasar.

“Kita jangkakan pada pertengahan tahun hadapan sekiranya semua berjalan lancar ia dapat dilaksanakan seterusnya memberi manfaat kepada semua termasuk pemohon, konsultan, pemaju, syarikat utiliti dan juga syarikat telekomunikasi,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau KUM Sdn. Bhd. turut menawarkan caj permohonan Permit Utiliti Bawah Tanah (UDM) secara percuma bermula 1 Ogos ini khususnya untuk golongan kurang berkemampuan B40.

“Saya ada berbincang dengan Ketua Menteri tentang komitmen kami kepada rakyat. Susulan itu KUM Sdn. Bhd. menawarkan caj perkhidmatan percuma kepada individu kurang berkemampuan yang ingin membina rumah.

“Caj UDM boleh dikatakan agak tinggi, jadi kita tidak mahu ada di antara individu yang ingin membina rumah tertangguh kerana tidak berkemampuan membayar caj oleh itu kita sedia membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

470
Kongsi :
Previous post MEMULIA AGAMA DAN ANAK ISTIMEWA, PERKASA BUDAYA ANTARA KEJAYAAN MANIS WRUR DUYONG
Next post PPSPM-HARD ROCK CAFE LANCAR KEMEJA-T EDISI KHAS, PAKEJ ‘CRUISE ROCK THE RIVER’