Sorting by

×

SEBAK LIHAT RUMAH PUSAKA DIMAMAH USIA KINI SEAKAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DUYONG 26 Julai – Hanya ucapan terima kasih mampu diucapkan Noriyah Jantan, 62, kepada semua pihak yang sanggup berganding bahu mengembalikan rumah pusaka keluarganya yang sebelum ini dimamah usia dan semakin uzur.

Menerusi Program Bandaraya Penyayang oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang diadakan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, rumah pusaka itu kini berwajah baharu apabila ia dibaik pulih.

Ujar Noriyah, disebabkan kekangan kewangan dia tidak mampu untuk membaiki rumah pusaka dua bilik peninggalan arwah mentuanya itu.

“Sebelum ini ada juga niat untuk baiki semula rumah ini tetapi apabila diberitahu anggaran kos mencecah belasan ribu ringgit terus saya pendamkan sahaja hasrat itu.

“Alhamdulillah, selepas melihat hasil gotong-royong antara MBMB bersama pelbagai pihak yang terlibat, sebak dan sayu rasanya.

“Ia di luar jangkaan, rumah yang dulunya usang kini seakan rumah baharu, terima kasih tidak terhingga kepada semua,” katanya ketika ditemui di kediamannya berhampiran Jambatan Duyong, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, Noriyah disantuni Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff.

Menurut Noriyah, bantuan yang diberikan MBMB menerusi Program Bandaraya Penyayang telah membuktikan komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat memerlukan.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata, pelaksanaan program itu bukan sahaja membabitkan kakitangan MBMB tetapi juga kumpulan pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun.

“Kos untuk kerja pembaikan ini disalurkan oleh MBMB dan ia dilaksanakan secara gotong-royong termasuklah mengecat baharu dan pembersihan halaman.

“Melalui kerjasama ini, ia menunjukkan kerjasama dan komitmen semua pihak dalam membantu serta menyantuni komuniti setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post TIADA LESEN, SUNTIKAN TIFOID PENIAGA PASAR MALAM DIKOMPAUN
Next post MEMULIA AGAMA DAN ANAK ISTIMEWA, PERKASA BUDAYA ANTARA KEJAYAAN MANIS WRUR DUYONG