Sorting by

×

MAIM GUNA MEDIUM DIGITAL PERKASA KUTIPAN WAKAF

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperkasa usaha kutipan wakaf dengan memperkenalkan pelbagai medium digital termasuk aplikasi kod respons pantas (QR) dan perkhidmatan terminal pindahan wang.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, inisiatif itu bagi memudahkan pewakaf menyalurkan sumbangan mereka secara lebih telus dan berkesan.

“Ia selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri melalui kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk menjadikan pembangunan institusi keagamaan Islam di Melaka sebagai maqasid utama.

“MAIM selaku pemegang amanah wakaf di Melaka giat memperluaskan akses kutipan wakaf tunai am menerusi empat produk utama iaitu wakaf masjid, surau dan madrasah, wakaf kesihatan dan perubatan, wakaf pendidikan serta wakaf pembangunan.

“Selain itu, MAIM turut menyelaras dan memantau pelbagai produk wakaf khas seperti wakaf pembinaan Masjid Pulau Besar, wakaf air Negeri Melaka, lima institusi pengajian tinggi yang menjadi mutawali wakaf serta 29 masjid, surau dan sekolah yang aktif mengutip saham wakaf masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Amil dan Penyerahan Kod QR Saham Wakaf MAIM Tahun 2025 di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Pada majlis itu, seramai 45 penerima dan 29 institusi keagamaan Islam yang terdiri daripada 21 masjid, empat surau, tiga institusi pendidikan serta sebuah kompleks anak yatim menerima tauliah amil setelah berjaya mewujudkan lejar saham wakaf masing-masing.

Setakat ini, Rahmad berkata, MAIM berjaya mengumpul purata sekitar RM3 juta setiap tahun melalui pelbagai tabung wakaf yang diwujudkan.

“Ia sekali gus membolehkan dana tersebut disalurkan bagi pembangunan institusi keagamaan Islam selaras dengan syariat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post LEBIH 150 PROGRAM WARNAI WRUR REMBIA, FOKUS SELESAI ADUAN RAKYAT
Next post KAMPUNG PENGKALAN RENGGAM ‘RIUH’ BAK KENDURI