Sikap terlalu yakin pemandu redah banjir boleh memakan diri
KUALA LUMPUR, 5 Jan – Sikap terlalu yakin pemandu yang mengambil risiko meredah banjir demi meneruskan perjalanan boleh mengakibatkan mereka terkandas di tengah-tengah banjir.
Menurut Pengurus GiatMara Bentong, Pahang Mohd Aizat Abd Aziz, mana-mana kenderaan bermotor sememangnya berisiko mengalami kerosakan jika dimasuki air terutamanya kenderaan kini yang mengguna pakai sistem ‘electronic fuel injection’.
“Kos membaiki kerosakan kenderaan yang dimasuki air boleh mencecah ribuan ringgit terutamanya kenderaan sekarang yang sudah menggunakan ‘electronic fuel injection’ sebab ia banyak sensor dan lebih sensitif.
“Jika hendak redah juga (air banjir), pastikan air tidak melebihi paras ‘suction air intake’ iaitu jika bagi kereta ia tidak melepasi hud dan untuk motosikal tidak melepasi paras tempat duduk penunggang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Aizat yang mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai tenaga pengajar dalam bidang automotif di pusat latihan berkenaan memberi peringatan kepada para pemandu agar tidak mengambil risiko memandu semasa banjir.
Mohd Aizat berkata pihaknya yang turut menjalankan perkhidmatan komuniti membaiki kenderaan menerima antara dua hingga tiga kenderaan dalam sehari pada musim banjir.
“Kerosakan biasa selalunya air masuk ke dalam karburetor bagi kenderaan yang masih menggunakan karburetor.
“(Yang) rosak akibat litar pintas iaitu kegagalan sistem elektronik akibat masuk air pun banyak kami terima di sini,” tambahnya.
Beliau turut berkongsi panduan penjagaan kenderaan ketika musim banjir antaranya meletakkan kenderaan di tempat selamat seperti tempat yang tinggi atau kawasan yang tidak mudah dilimpahi air banjir.
“Pandu kenderaan dengan perlahan kerana jika memandu laju boleh menyebabkan tayar hilang cengkaman. Selain itu, gunakan gear rendah dengan mengekalkan momentum pemanduan.
“Periksa juga enjin atau kotak gear dengan memeriksa batang celup (dipstick) kereta. Jika melebihi amaun sepatutnya ia bermaksud enjin sudah dimasuki air,” nasihatnya.- BERNAMA