
LEBIH 150 PROGRAM WARNAI WRUR REMBIA, FOKUS SELESAI ADUAN RAKYAT
REMBIA 28 Julai – Lebih 150 program telah dirancang menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang akan bermula 3 hingga 16 Ogos depan.
Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program terbabit akan memberi fokus kepada penyelesaian ratusan aduan rakyat dan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi untuk semua lapisan masyarakat.
Katanya, antara keutamaan utama dalam pelaksanaan program WRUR ialah menyelesaikan aduan yang dikemukakan penduduk secara berperingkat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan pelbagai agensi berkaitan.
“Fokus utama pada Program WRUR DUN Rembia adalah untuk memastikan aduan rakyat ditangani segera meskipun ada isu yang terpaksa mengambil masa lebih dua minggu untuk diselesaikan, namun tindakan awal tetap dilaksanakan.
“Program WRUR ini juga berperanan sebagai platform untuk menyampaikan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada rakyat secara terus di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kempen Membasmi Wabak Denggi Tahun 2025 di Dewan Taman Kebaya, Paya Datok, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata sebanyak 12 program telah dirancang di bawah portfolio beliau sepanjang WRUR Rembia.
Tambahnya, pelbagai aktiviti dan program merangkumi aspek pendidikan digital, pemerkasaan masyarakat dan penglibatan semua peringkat umur, daripada pelajar sekolah ke warga emas akan diberi perhatian.
“DUN Rembia mempunyai lebih 22,000 pengundi dan penduduknya lebih daripada itu dan dengan jumlah itu kita mahu menyantuni semua golongan menerusi WRUR DUN Rembia ini secara inklusif dan menyeluruh,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.