Sorting by

×

UPTOWN FLEA TUN TEJA KINI LUBUK REZEKI PENIAGA KECIL

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

PENGKALAN BATU 28 Julai – Hampir lima bulan beroperasi, Uptown Flea Tun Teja semakin meriah dan tidak keterlaluan jika dikatakan ia berpotensi menjadi antara ikon produk pelancongan baharu bagi Negeri Melaka.

Pertambahan peniaga yang menawarkan aneka jenis makanan dan minuman selain pelbagai produk lain juga seiring dengan peningkatan jumlah kedatangan pengunjung termasuk pelancong dari luar negeri ini.

Paling menarik apabila melihat gelagat peniaga yang tidak menang tangan melayan pengunjung, suasana meriah itu membuktikan Uptown Flea Tun Teja semakin tersohor dan menjadi lokasi santai pilihan ramai.

Whatsapp image 2025 07 28 at 10.06.49 am
MUHAMMAD Faiz.

Peniaga char kuetiau Muhammad Faiz Zainal, 28, berkata, berbanding ketika baharu beroperasi Uptown Flea Tun Teja sekarang semakin menjadi pilihan dan menjadi bualan ramai seperti uptown lain beroperasi di Melaka.

Muhammad Faiz berkata, dia pada mulanya membuka gerai kerana mahu mencuba nasib dan langsung tidak menyedari potensi Uptown Flea Tun Teja yang mampu berkembang sebagai satu tarikan pelancongan baharu.

“Namun sekarang saya boleh jual sehingga 100 bekas char kuetiau untuk satu malam, ini satu perkambangan yang amat positif, jumlah peniaga juga semakin bertambah, berbeza dengan dulu yang cuma beberapa orang sahaja.

“Setiap minggu boleh dikatakan pengunjung makin bertambah, malah isu viral kos jambatan sebenarnya memberi impak apabila ramai orang mula mengetahui keberadaan Uptown Flea Tun Teja ini,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, Uptown Flea Tun Teja mampu berkembang, sekali gus memberi limpahan rezeki untuk peniaga mencari pendapatan.

Sementara itu nada sama turut disuarakan peniaga laksa, Muhammad Rahmat Omar, 33, menjadikan tapak niaga Uptown Flea Tun Teja sebagai tempatnya mencari rezeki.

“Boleh katakan uptown ini semakin meriah dan mendapat sambutan apabila berlaku peningkatan jumlah pengunjung begitu juga dengan peniaga.

“Saya sebelum ini bekerja tetapi apabila melihat berniaga sendiri ada potensi untuk jana pendapatan yang lebih, saya kemudian berjumpa dengan pihak penganjur untuk sama-sama berniaga di Uptown Flea Tun Teja ini,” katanya.

Dia berharap agar lebih banyak program dan aktiviti dianjurkan di kawasan itu supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus memeriahkan lagi suasana.

Manakala, bagi Marziah Hashim, 45, berkata, dia yang baru berniaga kira-kira tiga minggu selepas berpindah dari Eye On Melaka mendapati sambutan jualan di lokasi baharu itu amat baik selain kek coklat dijualnya turut laris.

“Walaupun boleh dikatakan agak baru berniaga di sini, namun sambutan menggalakkan, nilai jualan dan suasana di Uptown Flea Tun Teja ini seakan sama dengan Eye On, malah ramai pengunjung datang termasuklah pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1325
Kongsi :
Previous post WRUR REMBIA: MPAG FOKUS PROGRAM KOMUNITI, ISU PERBANDARAN
Next post TUJUH DITAHAN DISYAKI ‘BELASAH’ LELAKI HINGGA MATI