Sorting by

×

MUFTI MELAKA NASIHAT PIHAK TERLIBAT MOHON MAAF ISU QUNUT NAZILAH

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Julai – Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil menasihatkan pihak yang terlanjur melafazkan doa Qunut Nazilah dalam satu perhimpunan baru-baru ini supaya segera memohon maaf kepada pihak yang tersinggung.

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja mencemari kesucian doa sebagai ibadah dalam Islam tetapi juga tidak mencerminkan akhlak serta ketinggian ilmu seorang Muslim.

“Terlajak kata tidak boleh ditarik balik, tetapi tidak salah memohon maaf. Pepatah Melayu ada menyebut, ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Jika terlanjur kata, mohon maaf kepada Allah dan manusia,” katanya.

Abdul Halim berkata demikian pada sidang media mengenai Qunut Nazilah di lobi Bangunan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, doa Qunut Nazilah seharusnya hanya dibaca ketika umat Islam berdepan musibah besar seperti peperangan, penindasan atau wabak penyakit dan bukannya dijadikan medium serangan politik.

“Saya mengamati video bacaan doa yang tular melibatkan seorang pemimpin dalam perhimpunan baru-baru ini dan mendapati lafaz yang digunakan tidak mencerminkan akhlak serta adab yang sepatutnya.

“Itu adalah satu perkataan yang amat tidak berakhlak, tidak ada nilai ketinggian ilmu untuk dilontarkan kepada seseorang yang sama akidah atau pada mana-mana pihak yang cuma sekadar perbezaan pandangan politik,” katanya.

Malah beliau turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa menjaga adab berdoa, walaupun mempunyai perbezaan pandangan politik atau peribadi.

“Doakanlah yang terbaik seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Baginda sendiri dizalimi, tetapi tetap memohon keampunan kepada mereka yang memusuhi. Jangan sampai doa kita mencemarkan martabat ibadah dan peribadi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1372
Kongsi :
Previous post PENJAWAT AWAM RUGI LEBIH RM80,000 DIPERDAYA SINDIKET PELABURAN PELANCONGAN
Next post WANITA RUGI RM600,000 TERPERDAYA PELABURAN DALAM TALIAN