
PUSAT PEMBELAJARAN KOMUNITI DI MELAKA MALL
AYER KEROH 3 Ogos – Kompleks Melaka Mall bakal menjadi lokasi penubuhan ‘learning center’ atau pusat pembelajaran komuniti hasil kerjasama strategik Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, pusat itu akan berfungsi sebagai platform latihan bagi meningkatkan kemahiran (upskill) dan memperkukuh kemahiran semula (reskill) masyarakat setempat melalui pelbagai program latihan dan pembangunan pengetahuan.
“Pusat ini bakal menjadi pemangkin kepada pengukuhan pengetahuan di peringkat komuniti selain mengukuhkan hubungan antara akademia dan komuniti melalui pihak berkuasa tempatan sebagai penghubung utama.
“Pusat pembelajaran ini akan dibuka di Melaka Mall aras tiga kerana kita mempunyai bilik latihan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Sapiah menerima kunjungan hormat delegasi UTeM yang diketuai Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik UTeM, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fani Sulaiman bersama beberapa pegawai kanan universiti berkenaan di pejabatnya di Kompleks Melaka Mall, di sini, semalam.
Turut bersama, Pengarah Perancang Bandar MPHTJ, TPr. Ts. Rozaidi Mahat dan Pengarah Korporat dan Media MPHTJ, Shahrulnaim Ibrahim.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata, perbincangan itu turut menyentuh mengenai status pelaksanaan penarafan Energy Management Gold Standard (EMGS) – 2 Star untuk MPHTJ yang dijangka berlangsung pada suku ketiga tahun 2025.
“Kerjasama ini diyakini dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat dengan menawarkan pelbagai bentuk latihan yang berimpak tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.