
MELAKA JOHAN FINSWIMMING TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT
AYER KEROH 2 Ogos – Melaka terus menjadi antara ‘kuasa besar’ sukan finswimming apabila merangkul gelaran juara tiga kali berturut-turut dalam kejohanan Malaysia Age Group Finswimming Championship.
Pada edisi ketiga tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Akuatik Setiap Spice, Pulau Pinang, baru-baru ini, kontinjen Melaka mendominasi kejuaraan dengan meraih 78 pingat emas, 47 perak dan 48 gangsa, sekali gus jauh meninggalkan pencabar yang lain.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Julai lalu itu menghimpunkan lebih 300 peserta dari seluruh negara dengan 188 acara dipertandingkan.
Presiden Persatuan Finswimming Negeri Melaka, Mohd Azwim Kamarulzaman berkata, kemenangan hatrik tiga tahun berturut-turut itu adalah hasil usaha dan perancangan rapi dibuat seluruh pasukan.
“Kejayaan dirangkul ini juga hasil usaha daripada komitmen jangka panjang yang dilakukan justeru momentum ini perlu dikekalkan.
“Kemenangan ini juga membuktikan Melaka berjaya mengekalkan rekod kejuaraan sejak pertandingan pada edisi 2023 dan 2024 justeru itu saya amat berbangga dengan pencapaian luar biasa ditunjukkan atlet,” katanya.
Mohd Azwim yang juga pengurus pasukan berkata, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai atlet pelapis sebagai jaminan kecemerlangan sukan finswimming.
“Kita bersedia untuk memacu pembangunan finswimming ke tahap lebih tinggi menerusi penganjuran kejohanan tempatan termasuk pencarian bakat baharu.
“Oleh itu Melaka bakal menganjurkan Kejohanan 1st Melaka Age Group Finswimming Championship 2025 yang dijadualkan akan berlangsung pada 4 Oktober depan bertempat di Pusat Akuatik Krubong yang dijangka menghimpunkan lebih 200 atlet muda dari seluruh Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.