
PELARASAN TARIF AIR MELAKA DEMI KELESTARIAN BEKALAN – SAMB
AYER KEROH 1 Ogos – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) melaksanakan pelarasan struktur tarif air bagi memastikan sistem bekalan air di negeri ini kekal lestari, stabil dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
SAMB dalam satu kenyataan memaklumkan, pelarasan berkuatkuasa 1 Ogos (hari ini) itu sentiasa mengambil kira keperluan pengguna dalam setiap pelaksanaan dasar, selain dilaksanakan dengan penuh pertimbangan.
Jelas kenyataan tersebut, ia juga dibuat tanpa membebankan majoriti pengguna domestik terutamanya 312,396 isi rumah berdaftar yang menggunakan air secara berhemat.
“Pelarasan ini turut melibatkan 48,788 akaun bukan domestik termasuk premis perniagaan, industri, agensi kerajaan, institusi kebajikan, rumah ibadat, perkapalan dan pusat data, yang akan menyumbang secara lebih adil kepada kos penyediaan perkhidmatan air,” ujar kenyataan berkenaan.
SAMB memaklumkan, kadar tarif bekalan air baharu yang telah diselaraskan bagi Negeri Melaka adalah seperti berikut:
1. Domestik (Kediaman):
– Caj minima: RM9.40
– 0-20 meter padu: RM0.94 / meter padu
– 21-35 meter padu: RM1.69 / meter padu
– Lebih 35 meter padu: RM2.26 / meter padu
2. Domestik (Meter Pukal Perumahan):
– Caj minima: RM25
– Penggunaan: RM2.22 / meter padu
3. Perniagaan / Industri / Kerajaan:
– Caj minima: RM26.60
– 0-35 meter padu: RM2.66 / meter padu
– Lebih 35 meter padu: RM2.72 / meter padu
4. Rumah Ibadat / Institusi Kebajikan:
– Caj minima: RM10.10
– Penggunaan: RM1.01 / meter padu
5. Perkapalan:
– Caj Minima RM80.20 / meter padu
– Penggunaan: RM8.02 / meter padu
6. Pusat Data:
– Caj minima: RM53.20
– Penggunaan: RM5.32 / meter padu
Jelas SAMB, usaha itu bukan sekadar pelarasan tarif tetapi bertujuan menampung kos pelaburan jangka panjang untuk menjadikan sistem bekalan air Melaka lebih mampan dan mampu memberi perkhidmatan lebih baik kepada semua lapisan masyarakat.
Tambah SAMB, pelarasan itu juga membolehkan SAMB mempercepatkan pelaksanaan projek-projek strategik utama, antaranya, Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 (kapasiti 5 juta liter sehari); Loji Rawatan Air Jernih (kapasiti 90 juta liter sehari); pembesaran Loji Rawatan Air Merlimay Fasa 2 dan pembinaan Tangki Air Bukit Batu serta naik taraf Loji Rawatan Air Sebukor.
Selain itu, ia juga membantu dalam mengganti dan memasang paip baharu di Sungai Rambai, Ayer Molek, Bukit Baru, Masjid Tanah dan laluan Bukit Bahudin ke Pekan Jasin sejauh 30 kilometer; menaik taraf sistem pengurusan buangan enapcemar di Loji Rawatan Air Bertam dan Merlimau serta kerja penyambungan paip air dari Sungai Muar ke Empangan Durian Tunggal.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.