
MUSYAWARAH NASIONAL 3.0 BAHAS POLEMIK MELAYU MENGIKUT PERSPEKTIF AKADEMIK, SEJARAH
BANDARAYA MELAKA 23 September – Isu dan polemik berkaitan orang Melayu bakal dibincangkan secara terbuka menerusi Musyawarah Nasional 3.0 yang memberi penekanan kepada perspektif akademik, sejarah dan perlembagaan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, program yang berlangsung pada 26 September ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan menampilkan empat panel daripada pelbagai latar kepakaran termasuk tokoh akademik dan sejarah bagi membincangkan isu berkenaan secara lebih tuntas tanpa dipengaruhi perspektif politik.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memberi ruang kepada masyarakat memahami sesuatu isu berdasarkan fakta dan pandangan golongan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
“Antara panel yang dijemput ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong serta pakar perlembagaan, Prof. Dr. Syam Rahayu daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Kalau saya sebagai orang politik, apabila bercakap ia akan menjurus kepada cerita politik dan sebagainya, tetapi kali ini sudut pandangnya datang daripada orang akademik. Daripada moderator Syed Munawar, sehinggalah kepada ahli panel, tidak ada seorang pun orang politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita bersiaran langsung mempromosi Musyawarah Nasional 3.0 : Membongkar Polemik Tanah Melayu di Melaka FM, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, Musyawarah Nasional 3.0 yang berlangsung mulai 8.30 pagi pada 26 September ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Jelasnya, perbincangan itu juga akan memberi ruang kepada masyarakat melihat isu orang Melayu dalam konteks masyarakat majmuk serta kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Orang Melayu jangan takut untuk membicarakan tentang bangsa sendiri dan pada masa sama masyarakat bukan Melayu tidak perlu berasa terancam kerana kita adalah masyarakat berbilang kaum yang telah hidup dalam keadaan harmoni di bumi Malaysia ini selama puluhan tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


