ANAK MUDA DIPELAWA MERIAHKAN MUSYAWARAH NASIONAL 3.0

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 September – Musyawarah Nasional 3.0 bukan hanya untuk pemimpin politik atau golongan tertentu sebaliknya terbuka kepada masyarakat termasuk golongan anak muda yang mahu memahami isu orang Melayu daripada perspektif akademik.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, jemputan program itu turut diperluaskan kepada pemimpin masyarakat, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta barisan pimpinan kerajaan seluruh negara.

Katanya, pendekatan berkenaan bagi memastikan masyarakat mendapat peluang mendengar dan memahami perbincangan secara langsung berhubung isu yang dibawa pada program berkenaan.

“Jemputan kita keluarkan kepada semua, daripada pemimpin masyarakat, pengerusi JPKK sehinggalah barisan pimpinan kerajaan dari seluruh negara kerana kita tidak mahu ada yang tertinggal atau mengatakan mereka tidak tahu mengenai majlis ilmu ini.

“Kalau tidak dapat hadir, masyarakat masih boleh mengikuti program ini menerusi platform media sosial atau secara dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas bersiaran langsung mempromosi Musyawarah Nasional 3.0 : Membongkar Polemik Tanah Melayu di Melaka FM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, Melaka kali ini bukan sekadar mengetengahkan produk pelancongan, sebaliknya turut menjadi lokasi perbincangan mengenai isu masyarakat menerusi pendekatan yang lebih terbuka dan berasaskan ilmu.

“Melaka yang tidak pernah berhenti membawa pelancong dan pelbagai produk pelancongan, kali ini kita bawa sesuatu yang lebih istimewa iaitu untuk membicarakan satu tajuk mengenai polemik orang Melayu.

“Saya yakin orang Melaka memang suka kepada perkara-perkara akademik seperti ini supaya ia dapat dibincangkan dengan lebih baik selepas ini,” katanya.

Musyawarah Nasional 3.0 dijadual berlangsung pada 26 September ini bermula 8.30 pagi di Pusat Dagangan Anrtarabangsa Melaka (MITC) dan akan menampilkan barisan panel akademik termasuk Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong serta Prof Dr Syam Rahayu daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) .

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

223
Kongsi :
Previous post MUSYAWARAH NASIONAL 3.0 BAHAS POLEMIK MELAYU MENGIKUT PERSPEKTIF AKADEMIK, SEJARAH
Next post LEBIH 50,000 MERIAHKAN FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026