
LEBIH 3,000 PEGAWAI, ANGGOTA PDRM BERTUGAS JAMIN KELANCARAN PRN MELAKA
SERI BENDAHARA 23 September – Polis Kontinjen Melaka sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan seramai 3,150 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang proses demokrasi itu berlangsung.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar berkata, persiapan menghadapi PRN telah dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sejak tiga bulan lalu termasuk mengadakan simulasi amal.
“Kita di IPK Melaka telah melakukan persiapan sejak tiga bulan lalu, insya-Allah tidak ada masalah. Malah kita juga belajar daripada kontinjen atau negeri lain berhubung kaedah pengurusan PRN.
“Daripada keseluruhan 3,150 pegawai dan anggota, seramai 1,500 adalah bantuan daripada kontinjen luar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Pesara Polis Diraja Malaysia Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Seri Bendahara, semalam.
Menurut beliau, setakat ini cuti pegawai dan anggota polis masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang sekatan, namun pihaknya akan menilai semula keperluan ituselepas hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen.
“Cuti setakat ini masih belum dibekukan dan berjalan seperti biasa tetapi kita akan lihat pada hari penamaan calon serta tempoh berkempen nanti. Mungkin pada waktu itu kita akan bekukan cuti untuk waktu sekarang berjalan seperti biasa dan tiada sekatan cuti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

