
PASAR MALAM TAMAN MAJU LEBIH TERATUR, BERSIH HASIL PEMANTUAN BERTERUSAN MPJ
JASIN 22 September – Usaha memastikan Pasar Malam Taman Maju kekal bersih, teratur dan selesa untuk peniaga serta pengunjung diperkasa menerusi pemantauan berterusan oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, seramai 63 penjaja diperiksa menerusi pemantauan dan pemeriksaan yang dilaksanakan di pasar malam berkenaan pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan itu bukan sahaja bertujuan memastikan pematuhan syarat pelesenan, malah memberi peringatan kepada peniaga mengenai kepentingan menjaga kebersihan serta pengurusan sisa perniagaan.
“Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 14 notis pemberitahuan kesalahan dikeluarkan kepada penjaja yang tidak mempunyai lesen atau gagal memperbaharui lesen perniagaan.
“Pada masa sama, para peniaga turut dinasihatkan supaya memastikan lesen perniagaan sentiasa sah, menjaga kebersihan kawasan perniagaan serta mengurus sisa perniagaan dengan baik,” katanya.
Menurutnya, kerjasama peniaga amat penting bagi memastikan operasi pasar malam berjalan lancar selain mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada masyarakat setempat.
“MPJ akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti perniagaan di pasar malam mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.
“Pematuhan ini secara tidak langsung membantu mewujudkan persekitaran pasar malam yang bersih, kemas dan selesa untuk dinikmati masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

