Sorting by

×

MAPEX 2025 MUDAHKAN RAKYAT MELAKA MILIKI RUMAH IDAMAN

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Ogos – Ekspo Perumahan dan Hartanah Melaka (MAPEX) 2025 yang berlangsung sejak 29 Julai hingga 3 Ogos ini kekal menjadi platform strategik yang menyatukan pemaju dan bakal pembeli di bawah satu bumbung di negeri ini.

Acara tahunan anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Cawangan Melaka (REHDA) yang diadakan di ruang legar utama Aeon Bandaraya Melaka itu menawarkan pelbagai daya tarikan istimewa buat bakal pembeli hartanah mahu pun unit kediaman di sekitar Melaka.

Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2025, Datuk Sonny Tay Chor Han berkata, MAPEX 2025 membolehkan hartanah ditinjau, dipilih dan dibeli dengan lebih mudah dan telus oleh bakal pembeli.

Katanya, lebih 2,267 unit hartanah ditawarkan melibatkan nilai jualan melebihi RM1.11 bilion serta pelbagai insentif turut ditawarkan pada ekspo terbabit.

“Antara daya tarikan utama pada MAPEX 2025 ini adalah 21 reruai pameran yang disertai 14 pemaju perumahan terkemuka; sokongan dari Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) serta pelbagai lagi.

“Sebagai galakan tambahan, REHDA turut menawarkan insentif khas Baucar Tunai AEON bernilai RM10,000 kepada 10 pembeli terawal yang berjaya menyempurnakan transaksi pembelian rumah sepanjang pameran ini berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MAPEX Melaka 2025 yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Aeon Bandaraya Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin; Pengerusi REHDA Melaka Datuk Ngoh Chun How serta kenamaan lain.

Sementara itu, Chun How ketika berucap pada majlis terbabit turut memaklumkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan pemaju adalah kunci mencipta keseimbangan dan kejayaan pasaran hartanah di Melaka.

Beliau turut menasihati bakal pembeli untuk meneroka pelbagai tawaran dan memanfaatkan insentif eksklusif sepanjang ekspo yang berlangsung selama enam hari itu.

“Saya harap penggunjung tidak melepaskan peluang kerana menerusi MAPEX 2025 ini, bakal pembeli boleh berinterasi dengan pakar industri dan institusi kewangan untuk maklumat pembelian atau pelaburan.

“Buat pembeli dalam kalangan B40 dan M40 boleh memanfaatkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang membolehkan kepada pengurangan kos pinjaman pembelian rumah.

“Buat rakan industri, jangan dilupa untuk utamakan kualiti dan kemampuan milik, terapkan prinsip kelestarian dalam setiap projek dan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri demi menjayakan visi Melaka sebagai negeri pintar, berteknologi hijau dan mesra rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post CEGAH DEMAM CAMPAK, MELAKA BERI VAKSIN PERCUMA BERMULA 4 OGOS
Next post MELAKA JOHAN FINSWIMMING TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT