
RMK13: 51,000 RUMAH MAMPU MILIK DIBANGUNKAN DI MELAKA
BANDARAYA MELAKA 2 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk membina satu juta unit Rumah Mampu Milik dalam tempoh 2026 hingga 2035.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, sejak tahun 2018, Melaka telah rancak membangunkan Rumah Mampu Milik untuk rakyat.
Jelas beliau, sehingga 2030, disasarkan sebanyak 51,000 unit Rumah Mampu Milik akan dibina di Melaka, sekali gus membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Persekutuan.
“Rumah Mampu Milik berjumlah 51,000 unit itu adalah projek yang telah, sedang dan akan dibina.
“Daripada sejuta unit yang disasarkan RMK13, Melaka sepatutnya membina 41,000 unit Rumah Mampu Milik, namun berdasarkan angka semasa, jumlah itu telah melepasi sasaran.
“Meskipun begitu, Kerajaan Negeri akan terus membantu untuk menyumbang pada angka sejuta unit Rumah Mampu Milik itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Melaka 2025 (MAPEX) di Aeon Bandaraya Melaka, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ngoh Chun How dan Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2025 Datuk Sonny Tay Chor Han.
Menurut Rais, Kerajaan Negeri akan terus menjalin kerjasama erat bersama pemain industri untuk membangunkan hartanah berkualiti untuk rakyat dan seterusnya memajukan serta merealisasikan visi Melaka dan negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.