Sorting by

×

SEMAKIN RAMAI MAHU JADI ‘HERO SUNGAI MELAKA’

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Ogos – Usaha pembersihan Sungai Melaka menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai syarikat swasta dan agensi kerajaan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Salman Salim berkata, pihaknya menerima permintaan berterusan untuk menjayakan aktiviti pembersihan sungai bersama pasukan sukarelawan yang dikenali sebagai ‘Hero Sungai Melaka’.

Katanya, pada bulan lalu, jadual program CSR tersebut telah diadakan setiap minggu di sepanjang Sungai Melaka.

“Untuk bulan lepas sahaja, pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan pihak swasta telah menempah slot dan menyatakan hasrat untuk menyertai kami di PPSPM dalam usaha memulihara kebersihan Sungai Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Salman turut menggalakkan lebih banyak syarikat swasta, agensi dan jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengambil bahagian dalam program seumpama itu.

Katanya, usaha itu sekali gus dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan kebersihan Sungai Melaka yang menjadi ikon pelancongan negeri.

“Kami mengalu-alukan mana-mana agensi yang berminat untuk menjadi sukarelawan dalam usaha mencintai dan memelihara Sungai Melaka. Jadilah sebahagian daripada Hero Sungai Melaka.

“PPSPM turut menyediakan jadual khas bagi memudahkan agensi-agensi merancang penyertaan mereka dan menyeru pihak yang berminat untuk segera menghubungi mereka bagi menempah tarikh sesuai.

“Program CSR ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap kebersihan Sungai Melaka, malah turut berperanan menyemai kesedaran dalam kalangan peserta mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

252
Kongsi :
Previous post PUSAT PEMBELAJARAN KOMUNITI DI MELAKA MALL
Next post 700 SAHUT CABARAN LARIAN SANTAI ZOO MELAKA