Sorting by

×

700 SAHUT CABARAN LARIAN SANTAI ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 3 Ogos – Seramai 700 peserta menyahut cabaran Program Larian Santai bersempena Sambutan Hari Harimau Sedunia di Zoo Melaka, anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Active Nation Malaysia.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, larian sejauh 4 kilometer (km) itu tampil dengan kelainan yang lebih unik berbanding tahun sebelumnya.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, kita belum pernah menganjurkan sebarang larian, jadi tahun ini merupakan kali pertama kita melaksanakannya.

“Lebih menarik, larian ini memberikan pengalaman menarik kepada peserta dengan berlari menyusuri trek di dalam Zoo Melaka sambil menyaksikan lebih 500 spesies haiwan.

“Program Larian Santai yang bermula di Dataran Sejarah, Ayer Keroh ini bertujuan memupuk kesedaran pemeliharaan harimau serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika turut sama menyertai larian santai di sekitar Zoo Melaka.

Menurutnya, program seperti ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat dan sewajarnya diteruskan sebagai acara tahunan.

Sementara itu, Zoo melaka turut merancang penambahbaikan khususnya pada infrastruktur, sebagai persediaan menjelang sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 yang bakal tiba tidak lama lagi.

Program Sambutan Hari Harimau Sedunia telah bermula semalam dengan pelbagai aktiviti dan acara yang menarik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

441
Kongsi :
Previous post SEMAKIN RAMAI MAHU JADI ‘HERO SUNGAI MELAKA’
Next post KETUA MENTERI SANTUNI PENDUDUK TAMAN SERULING JAYA