
KETUA MENTERI SANTUNI PENDUDUK TAMAN SERULING JAYA
TANJUNG BIDARA 3 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turun padang bagi bersama-sama memeriahkan Program-Royong Perdana Taman Seruling Jaya, di sini, hari ini.
Bersempena program sama Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, meluangkan masa untuk singgah melawat dan bertanya khabar dua penduduk di taman berkenaan yang kini mengalami masalah kesihatan termasuk akibat angin ahmar.
Selain itu beliau bersama wakil penduduk melawat tapak bagi cadangan pembinaan surau Taman Seruling Jaya yang kini sedang dalam perancangan untuk dibangunkan.
Sementara itu Pengerusi Kawasan Rukun Terangga (KRT) Taman Seruling Jaya, Aznizam Hamdan berkata, kehadiran Ketua Menteri dianggap sebagai satu kejutan dan menghidupkan lagi suasana gotong-royong yang menjadi medium mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk.
“Kami tidak sangka Ketua Menteri akan hadir, namun tiba-tiba pagi ini beliau datang memeriahkan program yang melibatkan sekitar 300 penduduk Taman Seruling Jaya. Terima kasih juga kepada Ketua Menteri yang menyampaikan sumbangan kepada dua penduduk yang kini sedang diuji dengan masalah kesihatan.
“Ini adalah kali pertama kami anjurkan gotong-royong perdana yang bukan sahaja melibatkan penduduk tetapi agensi seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Japerun Tanjung Bidara dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka,” katanya.
Hadir sama pada program itu Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, merangkap Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.
Beliau bercadang untuk menjadikan program itu sebagai aktiviti tahunan bagi menceriakan persekitaran Taman berkenaan selain mencegah penularan wabak denggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.