Sorting by

×

DERITA IBU HIDAP KANSER CETUS KEJAYAAN MUHAMMAD AZRUL

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 5 Ogos – Terpaksa menjaga ibu yang menderita kanser dan pada masa sama perlu menyambung pengajian menjadi antara pengorbanan yang terpaksa ditempuh seorang anak muda.

Namun, siapa sangka pengorbanan itu ‘berbuah’ manis apabila Muhammad Azrul Hazami Abu Hassan, 21, graduan Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian dari Kolej Komuniti Jasin menerima Anugerah Ketua Pengarah (AKP) pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2025.

Menurut Muhammad Azrul, kejayaan itu disifatkan sebagai hadiah paling bermakna dalam hidup selepas pernah suatu ketika dunianya hampir gelap apabila dimaklumkan ibunya menghidap kanser buah pinggang sejak tahun 2019.

Namun berkat kesabaran, usaha keras dan keikhlasannya menuntut ilmu dia berjaya menghabiskan pengajian dengan keputusan cemerlang.

“Setiap manusia berdepan dengan pelbagai masalah tetapi kita tidak boleh menjadikan masalah yang dihadapi sebagai penghalang untuk berjaya dan perlu menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mencipta kejayaan.

“Walaupun diri sendiri mempunyai halangan dari sudut kewangan dan terpaksa bertabah dengan ibu yang menghidap kanser buah pinggang, namun tidak sedikitpun mematahkan semangat saya untuk mengejar cita-cita dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.

Dia turut mengakui pada awalnya sedikit terkesan kerana terpaksa berjauhan dengan ibunya yang sakit, namun demi mengubah nasib keluarga, dia menguatkan semangat sepanjang menuntut ilmu.

“Cabaran utama adalah menjaga ibu yang sakit dan ditambah lagi ibu saya seorang buta huruf, semestinya amat membimbangkan apabila terpaksa berjauhan dan merantau di tempat orang untuk menyambung pengajian.

“Namun, saya ingin membuktikan bahawa bidang TVET bukan laluan kedua untuk berjaya dan walaupun program yang ditawarkan hanya di peringkat sijil sahaja, itu tidak bermakna perlu gentar untuk meneroka ruang dan peluang yang luas di luar sana,” katanya.

Muhammad Azrul menerima Anugerah Ketua Pengarah (AKP) di atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum, di mana dia merupakan pelajar terbaik dan sentiasa memperoleh markah cemerlang dalam keputusan peperiksaan pada setiap semester.

Selain akademik, dia juga bergiat aktif dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi Pertandingan SISPA Challenge bersempena dengan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Peringkat Kebangsaan pada tahun 2022 dan 2023. Antara anugerah yang pernah dikecapi adalah pingat Gangsa pada tahun 2023 menerusi pertandingan yang sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

612
Kongsi :
Previous post DIDIK MURID MENGENAI HAK KANAK-KANAK, TALIAN 15999
Next post TITIPAN KATA SEMANGAT AB RAUF BUAT NORIZA