
HEBAT: ADUAN LIPUTAN TELEKOMUNIKASI DAPAT PERHATIAN
SERI NEGERI 8 Ogos – Masalah liputan telekomunikasi menjadi antara aduan yang diterima daripada rakyat Melaka menerusi Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT).
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program julung kali diadakan itu memperlihatkan keterbukaan Kerajaan Negeri dalam menyantuni rakyat.
“Alhamdulillah, HEBAT merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan akan dilaksanakan setiap dua bulan sekali.
“Saya menerima lima aduan, semuanya berkaitan masalah telekomunikasi. Kita telah berbincang dengan agensi berkaitan untuk ambil tindakan susulan dengan segera,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program HEBAT di Seri Negeri, semalam.
Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia turut menjemput orang ramai untuk hadir ke Hari Bertemu Rakyat bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia pada 16 Ogos ini di Dataran Keris, Alor Gajah.
“Saya jemput rakyat Melaka yang belum hadir ke program HEBAT ini untuk mengambil peluang menyertai Hari Bertemu Rakyat bersempena WRUR DUN Rembia.
“Ini juga salah satu pendekatan mesra Kerajaan Negeri untuk menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.