
KADAR PENGANGGURAN MELAKA TURUN 1.9 PERATUS
AYER KEROH 11 Ogos – Kadar pengangguran Negeri Melaka menurun kepada 1.9 peratus bagi suku pertama 2025 berbanding 2.2 peratus pada suku keempat tahun lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, data tersebut sekali gus menunjukkan kadar pengangguran di negeri ini jauh lebih rendah berbanding kadar nasional iaitu pada paras 3.1 peratus.
Katanya, ia sekali gus mencerminkan usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri dalam menarik pelaburan dan memperkasa ekonomi pelbagai sektor di negeri ini memberi tempias kepada rakyat, khususnya golongan belia.
“Pada sudut pendidikan pula, data Statistik Siswazah bagi tahun 2023 menunjukkan bilangan siswazah di Melaka meningkat kepada 194,600 orang, berbanding 188,100 orang pada tahun sebelumnya.
“Angka-angka ini bukan sekadar statistik, ia merupakan indikator jelas potensi generasi muda jika digerakkan dengan perancangan yang tepat dan inklusif akan menjadi enjin utama kemajuan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Persidangan Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Belia negeri Melaka Tahun 2025 di Anjung Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Belia Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2024 Melaka mencatatkan jumlah penduduk seramai 1.05 juta orang di mana 46.5 peratus iaitu seramai 488,400 adalah golongan belia berusia antara 15 hingga 40 tahun.
Justeru, beliau berkata, Kerajaan Negeri meletakkan pelaburan terhadap belia bukan sekadar pilihan tetapi keutamaan strategik untuk memastikan negeri ini terus berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.