
PDK SERI EMAS DIBUKA, MELAKA KINI MILIKI 18 PUSAT PEMULIHAN OKU
REMBIA 12 Ogos – Melaka terus mengukuhkan jaringan sokongan komuniti apabila sebuah lagi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Emas di Taman Bukit Emas, Rembia dibuka secara rasmi.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, ia menjadikan keseluruhan 18 pusat PDK di seluruh negeri dengan memberi manfaat kepada pelatih Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurutnya, PDK Seri Emas yang menerima peruntukan RM83,092.80 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memanfaatkan seramai 20 pelatih OKU, dengan jumlah itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.
“Dengan pertambahan pusat ini, program pemerkasaan ke arah kehidupan berdikari serta sokongan sosial kepada pelatih OKU dapat dipertingkatkan.
“Ia juga diharap dapat meningkatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap kumpulan sasar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan PDK Seri Emas bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Taman Bukit Emas, Alor Gajah, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad.
Kalsom berkata, penubuhan pusat itu adalah hasil usaha pelbagai pihak termasuk JKM, penyelaras DUN dan komuniti setempat.
“Usaha ini sekali gus membuka ruang lebih kondusif untuk pelatih OKU mendapatkan rawatan pemulihan awal dalam komuniti.
“Di Melaka, kita ada tujuh PDK di Alor Gajah, enam di Melaka Tengah dan lima di Jasin,” katanya.
Beliau turut memaklumkan cadangan penubuhan PDK baharu di Gadek sedang dipertimbangkan bagi memperluas akses perkhidmatan pemulihan kepada OKU di negeri ini.
“Sikap terbuka ibu bapa dan penjaga dalam mendaftarkan anak OKU kini semakin meningkat berbanding dahulu, di mana ramai yang menyembunyikan anak OKU kerana rasa malu. Sekarang, dengan pendedahan yang ada, mereka lebih terbuka dan anak-anak ini dapat dibimbing di tempat yang sesuai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.